Keturunan Hadrami: Keunggulan Salasilah dan Keteladanan Peniaga dalam Sejarah

Hadrami atau keturunan ‘orang Syed’ hari ini sudah semakin larut dan terasimilasi ke dalam masyarakat Melayu sehinggakan tiada perlu dihairankan pun kehadiran mereka di sekeliling kita. Setidaknya menurut pengalaman saya, orang Syed atau Hadrami ini tidak sukar pun untuk ditemui, bahkan adakalanya mereka sendiri tidak pernah ketahui asal-usul keturunan mereka secara mendalam. Tidak kurang juga mereka yang namanya diawali dengan Syed dan sendirinya mengaku berketurunan Hadrami, tetapi hakikatnya palsu. Tetapi bukan di sini ruangnya perbincangan sedemikian diulas.

Tulisan ini akan memperihalkan secara ringkas sejarah salasilah (genealogy) atau susur-galur keturunan Hadrami; kemudian memanfaatkan dari itu keunggulan keterjagaan serta kaedah penyusunan nasab mereka, juga keteladanan sifat para peniaga atau pedagang Hadrami dalam sejarah perniaagaan mereka yang dilihat merupakan hasil tumpahnya keberkatan dari sifat keusahawanan Rasulullah SAW sendiri.

 

Siapakah Hadrami?

Secara harfiah, Hadrami ialah mereka yang tinggal atau menetap di Hadramawt, Yaman. Dalam maksud ini, Hadrami merujuk kepada mereka yang mempunyai jalur keturunan yang sampai kepada mereka yang tinggal di Hadramawt, di mana pada kebiasaannya akan dikaitkan dengan keturunan Rasulullah SAW. Ini disebabkan dari hijrahnya Ahmad ibn ‘Isa al-Muhajir, keturunan ke-8 dari sebelah Sayyidina Husayn, ke Hadramawt dari Basrah.

Imam Ahmad bin ‘Isa al-Muhajir ialah seorang tokoh yang penting dikenali dalam sejarah, iaitu seorang yang telah meraih peringkat Mujtahid dalam ilmunya, yang dilihat sebagai paling berilmu, paling teguh upaya akalnya, paling bagus dalam usaha kerjanya, dan paling hampir kepada sempurnanya Nabi Muhammad SAW, di lembah Hadramawt.

Menurut Amin Buxton (2012), beliau berhijrah dari Basrah pada ketika pergolakan politik di zaman pemerintahan Bani Abbasiyyah yang diriwayatkan menganiaya dan menindas keturunan Muhammad, iaitu pada waktu kekeliruan dan perselisihan dalaman yang berleluasa di Iraq pada waktu itu. Maka disebabkan beliau menyedari akan beban mulia keturunan dan agama yang ditanggungnya, beliau memilih untuk berhijrah ke lembah Yaman dengan menurut kata hati dan ilham dari Allah.

Diriwayatkan bahawa pemerintah di Hadramawt ketika itu ialah golongan Ibaḍiyyah yang berpengaruh, iaitu cabang dari pemikiran Khariji. Namun Imam Ahmad dengan kehebatan sikap tenang, bersama penampilan kenabian dan keperkasaan penghujahan beliau telah menyerlahkan segala kesalahan pemikiran golongan Ibaḍiyyah di Hadramawt ketika itu, lalu ramai telah tunduk bertaubat kembali kepada ajaran sebenar Islam.

Setelah itu, dari keturunan beliau telah tersebar luas ajaran yang berpaksi kepada mazhab fiqh Shafi‘i dan mazhab akidah Ash‘ari, dan dari cucu beliau iaitu Imam ‘Alawi atau Ba ‘Alawi, sehingga hari ini kita berterima kasih atas sampainya Islam ke segenap penjuru dunia, termasuk alam Melayu.

Indahnya disebabkan kedudukan mereka di lembah Hadramawt, yang berada berhampiran dengan lautan membuatkan mereka menjadi akrab dengan kehidupan pelayaran. Maka, dengan kebiasaan kehidupan pelayar di Hadramawt yang berdagang ke serata dunia telah membuka potensi agama untuk tersebar lebih jauh ke alam yang terperosok dari kedudukan Timur Tengah semata.

 

Ilm al-Nasab (Science of Genealogy) dan Tawatur

Dari keturunan Imam Ahmad ibn ‘Isa al-Muhajir ini, menurut Prof al-Attas (2011), mereka telah menyebarluas ajaran Islam ke merata dunia seperti Afrika, India, dan Asia Tenggara atau kepulauan Melayu-Nusantara. Sehingga hari ini pun, keturunan mereka ini dijaga dan wujud perbadanan yang bertujuan untuk menjaga ketulenan salasilah mereka.

Hebatnya kaedah penjagaan ini ialah disebabkan kesedaran bahawa peri pentingnya faktor nasab kepada mereka, atas sebab supaya tidak bercampurnya darah dengan yang tidak sepatutnya dalam perkahwinan, dan juga dalam penentuan pembahagian harta fara’iḍ.

Sehingga kini, ia bukan sahaja menjadi sekadar penyenaraian nama semata-mata, akan tetapi sudah menjadi suatu seni yang utama, di mana kaedah yang sama juga digunakan dalam menentusahkan (verify) Hadith Nabawi. Di sinilah pentingnya kaedah ini, yang di dalam Ulum Hadith dinamakan sebagai Mutawatir atau Tawatur, iaitu penyaksian atau penerimaan hadith oleh para perawi sehingga bilangannya mencapai taraf mustahil berlaku persepakatan untuk membuat dusta.

Hadith Mutawatir ini dianggap mencapai taraf Hadith Sahih dalam kalangan ahli Hadith, di mana ianya sah untuk digunakan sebagai hujjah bagi menentukan kesahihan sesuatu hukum atau amalan.

Di sinilah hebatnya kaedah tawatur ini, di mana walaupun di antara para penyalin salasilah (genealogist) ini berada sangat berjauhan dan tidak pernah bertemu sekalipun, andai disatukan salinan mereka, maka akan didapati sangat bersamaan lalu boleh disahkan sebagai benar. Maka dari sinilah, ketepatan epistemologi dapat diraih melalui kaedah yang sempurna bagi mencapai kebenaran, seperti yang disebut para Ulama sebagai “Khabar Sadiq”.

 

Sifat Peniaga Hadrami

Tidak terhenti setakat itu, walaupun keturunan Hadrami ini masyhur sebagai keturunan Nabi, apa yang menarik ialah keteladanan sifat keusahawanan mereka dalam sejarah perniagaan, hasil dari limpahan keberkatan dari darahnya Sayyidina Muhammad – selawat dan salam ke atas Baginda – atas keunggulan sifat baginda dalam berniaga.

Tajuk ini yang menjadi perhatian saya dalam pembentangan kertas kerja bertajuk “Hadrami Traders: A Model for the People of the Golden Mean, the Right Practice of Economics in Islam”. Apa yang cuba dibuktikan ialah ciri keusahawanan mereka yang telah menjadi tabiat keturunan ini adalah bersesuaian dengan pengamalan ekonomi Islam (lebih tepat Ekonomi Ihsani), atau golongan unggul (golden mean) yang disebut dalam mukaddimah kitab Kasb oleh Imam al-Ghazali.

Ciri keusahawanan mereka yang dirujuk ialah mereka mencari sara hidup di dunia demi kebaikan akhirat mereka, dan bukannya sebagai penimbunan harta atau tujuan-tujuan yang lain. Dalam maksud ini, bukanlah bermaksud mereka mencari rezeki sekadar cuma, akan tetapi andai ditelusuri sejarah mereka, merekalah yang kuasai kekayaan dari sudut tanah, berlian, teh, makanan asas, dan sebagainya di kepulauan Melayu ini pada suatu ketika dahulu. Kemudian, dengan kekayaan itu tidak membuatkan mereka tenggelam (indulged) dengan kemewahan pula, bahkan kebanyakan harta itu diwaqafkan sebagai pembinaan masjid, pusat kemasyarakatan, sekolah, madrasah dan pelbagai keperluan kemasyarakatan yang lain.

Bagi Imam al-Ghazali, menurut Adi Setia (2013), tujuan berniaga atau bekerja ialah utamanya untuk memenuhi keperluan kemasyarakatan, iaitu menunaikan farḍ al-Kifayah, yang ditakrifkan sebagai tanggungjawab mencukupkan apa-apa yang tidak tercukup dalam masyarakat.

Maka, dari perusahaan Hadrami ini, kita dapat perhatikan bahawa mereka telah menguasai kebanyakan keperluan asas ekonomi masyarakat seperti tanah, makanan asas, masjid dan tempat ibadah, sekolah dan pendidikan, malah juga mempunyai perusahaan cetak (printing press) sendiri sebagai wahana penyebaran maklumat yang benar.

 

Pemikiran Ekonomi Hadrami

Tidak cukup dengan itu sahaja, dari penelitian sekadar maklumat yang saya terima, keturunan Hadrami juga lebih cenderung untuk membenarkan pemindahan perusahaan keluarga diamanahkan kepada mereka yang lebih beragama, dan teguh amalan keagamaan dan tasawuf. Ini didapati dari dokumen tawsiyya atau wasiat sebuah keluarga al-Kaf yang dierjemahkan oleh Freitag (2009), di mana nasihat-nasihat yang diberikan kepada anaknya yang bakal menggantikan perusahaan keluarga sarat dengan unsur keagamaan.

Bahkan ianya dimulakan dengan seruan taqwa kepada Allah, kemudian diakhiri dengan tujuan berniaga dan bekerja adalah demi mencapai kebahagiaan, yang merujuk juga kepada kebahagiaan hakiki di Akhirat. Di pertengahan wasiat itu digariskan satu persatu nasihat yang khusus dilakukan demi meraih kejayaan dalam berniaga.

Namun, dari hanya satu surat wasiat belum wajar dibentang secara keseluruhan pemikiran ekonomi Hadrami, terutamanya bagaimana sudut pandang mereka terhadap sistem ekonomi moden seperti kapitalis, sosialis dan sebagainya.

Dalam mengupas disiplin sains ekonomi moden, Syed Farid Alatas (2006) menyatakan bahawa ekonomi Islam, iaitu yang telah dibangunkan sejak sekitar tahun 1950, bagaimanapun dilihat masih berlegar sekitar kurungan ekonomi Neoklasik Barat. Sedangkan seharusnya seruan dilakukan untuk mendekati perbincangan ekonomi dalam kacamata ekonomi politik, sepertimana yang telah dilakukan oleh Ibn Khaldun.

Kita tidak seharusnya menjadi begitu naif untuk melihat ekonomi sebagai terpisah dari kekuasaan politik, memandangkan negara Islam kebanyakkannya menghadapi kesukaran ekonomi dan seolah-olah mengabaikan aspek politik dan kenegaraan/ kerajaan dalam mengendali persoalan ekonomi. Maka di sini, pentingnya dilihat semula ekonomi sebagai persoalan yang penyelesaiannya hadir bersama keazaman politik (political will).

 

Hadrami Hari Ini

Kini, kisah-kisah kejayaan ekonomi Hadrami hari ini telah semakin dimamah zaman, akibat dari kebusukan hati sang penjajah yang merampas kekayaan Hadrami atas nama persaingan (competition), kecekapan (efficiency), dan rasionaliti (rationality) yang terkandung dalamnya andaian manusia itu sifatnya memenuhi nafsu (utility maximization).

Juga dalam mendepani perubahan zaman kepada sistem moden yang kini lebih mencabar selepas zaman revolusi industri, telah mengakibatkan pelbagai pemindahan kekayaan dan kemampuan yang terpaksa diserahkan kepada mereka yang lebih berkuasa. Tanah-tanah milik persendirian telah terpaksa diberikan kepada pemilikan penuh kerajaan, dan kebanyakan harta juga tidak lagi dapat dijana seperti sebelumnya kerana suasana sistem ekonomi yang berbeza.

Akhirnya, sebagai penafian, tidaklah dapat dipuratakan sekalian Hadrami itu baik-baik sahaja, kerana masih juga terdapat beberapa yang berada di pinggiran. Sepertinya andai dikatakan semua Hadrami itu sifat kepeniagaannya itu sempurna, maka sama sekali tidak tepat kenyataan itu. Namun, di atas mulianya sekalian ramai para Ulama yang salasilahnya sampai kepada Baginda Muhammad SAW, dan telah banyak berjasa kepada kita, semoga kebaikan sekalian mereka diganjar selayaknya.

 

Rujukan

Amin Buxton (2012). Imams of the Valley.

SMN al-Attas (2011). Historical Fact and Fiction.

Adi Setia (2013). “Al-Ghazali on the Proprieties of Earning and Living.” Islamic Science.

Ulrike Freitag (2009). “From Golden Youth in Arabia to Business Leaders in Singapore.” Dalam Southeast Asia and the Middle East: Islam, Movement, and the Longue Durée.

Syed Farid Alatas (2006). “Islam and the Science of Economics.” Dalam The Blackwell Companion to Contemporary Islamic Thought.

Leave a comment