Kritikan ke Atas Diskusi

Oleh kerana saya seorang pelajar di UIAM, saya melihat program diskusi sebagai satu kebiasaan atau perkara rutin seorang pelajar yang cintakan ilmu. Adapun mereka yang masih terasa asing dengan diskusi patutlah berasa malu dengan diri sendiri. Mana tidaknya, hampir setiap hari akan ada penyebaran poster yang berlainan menganjurkan diskusi dan yang sewaktu dengannya, tetapi masih menjauhkan diri daripada mengambil tahu tentangnya.

Maka ingin saya ulas sedikit perkara berkenaan diskusi, dan perlu dijelaskan bahawa ia tidaklah ditujukan secara khusus kepada mana mana badan penganjuran yang ada.

TUJUAN DISKUSI MENUNTUT ILMU ?

Pertama sekali, apakah tujuan sebenar diadakan diskusi itu sebenarnya ? Apakah kerana ingin mempromosi satu satu badan, atau Jemaah, atau persatuan, atau yang sewaktu dengannya ? Atau sebagai platform untuk melonjak nama nama figur atau sosok, atau juga badan yang diwakili seseorang itu ? Atau sebagai tempat menjustifikasi tindakan satu satu entiti  yang dikritik di luarnya ? Atau sebagai platform kepada mereka yang ingin bersuara berkongsi ilmu serta percambahan idea dan pendapat ?

Tentu sekali saya sendiri berpegang bahawa diskusi ialah bukan tempat untuk menuntut ilmu – melainkan dalam situasi tertentu – kerana penyampai atau pembentang di dalam diskusi kebanyakannya adalah bukan orang yang paling berautoriti di dalam tajuk yang didiskusikan di dalamnya.

Ini adalah salahtanggap yang paling berbahaya, kerana audiens menganggap bahawa tempat yang mereka hadir itulah yang tempat menuntut ‘ilmu’ sedangkan mereka tidak pernah mempunyai ‘mindset’ yang baik sebelum mendengar pembentangan. Mereka anggap semuanya adalah satu ilmu yang benar, tanpa ditapis dan perlu dikaji semula. Kerja rumah (homework) pun tidak pernah dilakukan sebelum hadir diskusi, apatah lagi selepas pulang.

Apa yang sepatutnya disedarkan adalah cara audiens menerima dalam program diskusi. Juga penyampaian pembentang seharusnya fokus kepada menimbul inkuiri, bukan bernada seperti menyumbat (mendoktrin) dan mengakui kebenaran berada di pihaknya sahaja.

DISKUSI PARA POPULIS

Seterusnya masih dalam kerangka tujuan penganjuran diskusi, apakah diskusi menujukan perbincangannya kepada audiens yang spesifik atau umum ? Kerana sesetengah penganjuran dibuat kerana ingin melonjak nama, atau nama badan yang sinonim dengannya, maka ingin diadakan diskusi itu kepada audiens yang seramai mungkin. Kononnya tujuan untuk menyuburkan budaya ilmu, tetapi yang diinginkan hanyalah pencantikan persepsi umum terhadap mereka dan supaya mereka disebut sebut dan diberi gelaran sebagai entiti yang hebat menggerakkan intelektual dalam kalangan pelajar.

Dengan sebab itu, pembentang yang dijemput adalah mereka yang popular dan disebut sebut supaya ramai yang tertarik dengan penganjuran itu – bersama tajuknya yang ‘catchy’ – walhal isi (substance)-nya nihil. Kontang ! Pembentang itu sendiri mungkin hanya masyhur dalam sudut yang lain, kemudian diminta bentang tentang perkara yang bukan menjadi kepakarannya. Rosak !

Sudahlah rosak dari segi isi (content) diskusi itu, rosak pula tujuan penganjuran yang populis dengan menarik audiens yang ramai demi membuktikan berjayanya program yang mereka anjurkan, dan seterusnya merosakkan pemikiran hadirin (termasuk penganjur) secara beramai ramai !

Tidak dinafikan di sana terdapat penganjuran yang sememangnya mempunyai niat yang murni dalam menganjurkan diskusi sebagai tempat perkongsian ilmu dan menyuarakan pendapat. Tetapi apabila ada sesetangah pihak mengambil kesempatan ini untuk kepentingan mereka yang menyebabkan niat murni itu disalurkan ke tempat yang salah, bahkan merosakkan.

PELANCAPAN INTELEKTUAL

Satu kritikan lagi kepada sikap hadirin yang tidak menetapkan ‘mindset’ yang jelas sebelum hadir ke program diskusi. Setidaknya hadirin mempunyai fokus diri iaitu apakah yang ingin dicapai daripada aktiviti yang dilakukan di dalam hidupnya, atau segala tindakan yang diambil itu bakal berikan manfaat apa untuk dirinya, di masa hadapan.

Persoalan yang amat mustahak ditanyakan kepada dirinya ketika menghadiri diskusi ialah ‘what’s next ?’. Apa seterusnya ? Mengambil contoh seorang pelajar yang mengambil jurusan agama dan menghadiri diskusi yang berbincang tentang isu ekonomi. Apakah yang akan ia peroleh daripada diskusi itu ?

Sudah tentu tidak dimaksudkan di sini supaya jangan hadirkan diri ke program yang bukan dalam bidangnya. Bahkan sangat menggalakkan setiap orang supaya hadir ke semua bentuk diskusi, tetapi pastikan dapat dikenalpasti ke mana input yang diperoleh daripada perbincangan itu patut disalurkan.

Medium ini bukan semata mata sebagai tempat memuaskan akal sahaja, mendengar perbincangan perbincangan yang hangat dan mencabar akal. Ia boleh disebut – walaupun kurang sopan – sebagai pelancapan intelektual kerana apabila setelah puas, tiada lagi kemahuan untuk serius mendalami perbincangan tersebut selepas pulang.

Perlu ditegaskan soalan ‘apa seterusnya ?’ dalam diri, supaya setidaknya perbincangan ekonomi yang didengari menjadi bukti dan sandaran untuk menganalisis ketamakan manusia tanpa batasan, seperti yang dipelajari dalam hadith dan teori agama yang dikaji di dalam bidangnya, sebagai contoh.

LARAS BAHASA

Kebanyakan yang hadir dan pulang dengan kepuasan semata itu mungkin ada mempelajari juga sesuatu. Ada pula audiens yang hadir dengan sangkaan bahawa pembentang akan menjadi seperti ‘rausyanfikir’ yang selalu dicanang canang. Semua perkataan yang didengari akan mampu difahaminya.

Sedangkan setiap satu patah yang keluar daripada pembentang berkemungkinan memaksudkan sesuatu yang berbeza daripada apa yang difahami seorang pendengar. Sebab itu penyelarasan kefahaman adalah sesuatu yang hampir mustahil, kecuali kefahaman itu ingin diterjemahkan di dalam penulisan yang berbentuk seperti peperiksaan di atas kertas yang mempunyai indikator dan skema jawapan untuk menilai tahap kefahaman seseorang.

Maka di dalam program diskusi, laras Bahasa yang digunakan oleh pembentang adalah hak pembentang dan tidak boleh dihalang oleh mana mana pihak untuk memilih laras Bahasa yang lebih rendah. Kerana menjadi tanggungjawab seorang pendengar untuk meminta definisi semula daripada pembentang sekiranya mahu berhujah semula, atau memahamkan maksud pembentang selepas program diskusi tersebut.

Kegusaran seorang pembentang kerana susahnya pendengar untuk faham isi perbahasan adalah tidak patut – bagi saya – kerana ia akan membantutkan penyampaian makna sebenar pembentang kepada pendengar, dan juga tidak mendatangkan kemajuan yang lebih kepada pendengar kerana seorang pencinta ilmu yang sebenar akan mengorek sedaya upaya apa yang dirasakan belum capai tahap kefahamannya.

Apalah rausyanfikir yang tidak mahukan kemajuan kepada kaumnya dan memanja manjakan kaumnya dengan keadaan semasa yang tidak maju dan bebal.

KESIMPULAN

Akhir kata, harus kita meneliti kembali tindakan kebiasaan kita walaupun sering dipandang sesuatu yang murni, namun apabila semakin hilang nilai sebenar dan teralih daripada tujuan asal ia diadakan menyebabkan ia menjadi sia sia.

Setiap tindakan seorang anak Adam itu mestilah disusuli niat yang murni dan sebaik baik (ahsan) cara pelaksanaan yang difikirkan paling hampir dengan hikmah. Persediaan untuk menerima sesuatu hendaklah dipastikan dalam keadaan yang paling ideal supaya tidak terlepas peluang yang mungkin tidak datang untuk kali yang seterusnya.

Salah satu tindakan yang baik selepas menghadiri diskusi ialah membentuk perkumpulan perbincangan yang lain, iaitu berfokus dan serius mencari mutiara dalam satu satu perbincangan itu. Ini bertujuan menjadikan setiap yang dilakukan adalah benar benar signifikan, dan bukan dilakukan hanya sebagai memenuhi nafas yang pendek dalam dunia yang akan hancur.

Firman Allah;

“Katakanlah (wahai Muhammad): “mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?” (Iaitu) orang orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan”. [18:103-104]

2/4/2015

One thought on “Kritikan ke Atas Diskusi

Leave a comment