‘Rebranding’ Uni Massa

Rentetan daripada kritikan saya ke atas diskusi tempohari, saya merasa bertanggungjawab untuk mendatangkan solusi supaya tidak berlarutan masalah yang sama, juga supaya tidak terhenti sekadar cakap-cakap sahaja sedangkan tiada yang menyelesaikan masalah. Solusi ini juga, perlu dijelaskan, hanya di bawah ruang lingkup keupayaan saya (kami, penganjur Grup Diskusi Uni Massa) sahaja, adapun di luar bidang kekuasaan saya hanya mampu diserahkan kepada pihak lain yang lebih mampu dan layak. Model yang dicadangkan ini pun masih di peringkat ujikaji, maka tiada jaminan keberkesanan melainkan kesungguhan dan konsistensi pihak kami sendiri yang bakal menentukan kejayaan perancangan ini.

Sejarah grup diskusi di UIA

Setelah dilakukan sedikit (saya akui tidak banyak) penelitian dan analisis, daripada temuramah atau soal jawab daripada ‘co-founder’ Uni Massa sendiri, apa yang dapat disimpulkan ialah;

Uni Massa merupakan satu grup diskusi yang ditubuhkan atas faktor yang pelbagai, antaranya kerana mengimpikan autonomi dan ruang kebebasan bersuara daripada para pelajar atau sesiapa sahaja di UIA untuk menyuarakan apa yang mereka rasa hendak disampaikan. Dengan itu, sifat-dasar (nature) Uni Massa adalah tidak pernah mengehadkan perbincangan daripada mana-mana pihak, dan perbincangan tidak tertumpu kepada audiens tertentu, bahkan terbuka kepada semua. Fokus perbincangan juga tidak diberi pengkhususan kepada matlamat yang spesifik, selagi tidak bertentangan dengan syariah (?)

Selain itu, grup diskusi Uni Massa pada awal penubuhannya juga bertujuan untuk menanam atau mewujudkan budaya ilmiah dalam kalangan pelajar, dengan membiasakan mahasiswa dengan perbincangan berbentuk santai tanpa birokrasi, serta mewujudkan bentuk baharu medium pembelajaran, selain di dalam kelas formal. Usaha ini dijalankan secara berkala pada awalnya, sehingga mampu dibuat dengan sasaran sekurang-kurangnya sekali seminggu.

Ketika penubuhan grup diskusi ini, tiada lagi – atau hampir tiada – penganjuran diskusi yang bersifat seperti Uni Massa di UIA, yakni berbentuk santai, tanpa bayaran, di kafe atau jalanan sahaja, disampaikan oleh pembentang yang rapat dengan audiens dalam kalangan kenalan, tanpa birokrasi dan lain-lain. Jadi, boleh dikatakan Uni Massa adalah pemula kepada diskusi gaya santai di UIA.

Penelitian semula ke atas Uni Massa

Layak untuk diberi penghargaan secukupnya kepada penggerak grup-grup diskusi yang memeriahkan ‘taman ilmu dan budi’ ini dengan diskusi yang semakin hari dilihat seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Akhir-akhir ini, kelihatan penganjuran diskusi semakin rancak sehingga kadang-kadang agak terkedu untuk pergi ke diskusi yang mana satu, memandangkan terlalu banyak dan hebat kesemua tajuk yang dibincangkan.

Dengan itu, Uni Massa harus dijenguk kembali pembawakannya selepas – kurang lebih – enam puluh diskusi di bawah penganjurannya, dan selepas bertukar tangan penggeraknya, juga kerelevenannya dalam meneruskan matlamatnya. Ini kerana kelihatan matlamat awal untuk membiasakan mahasiswa dengan diskusi ilmiah telah tercapai, bahkan grup diskusi lain mungkin lebih terkehadapan dalam menyusun manhaj, dan fokus perbincangan yang lebih terarah.

Penelitian semula ini juga melibatkan pendirian para penggeraknya, yang serius dalam menjalani proses menuntut ilmu, yang tidak dapat tidak mesti bersertakan disiplin, konsistensi, amanah terhadap ilmu, dan adab-adab ilmu yang lain. Walaupun (diakui) tidaklah sepenuhnya mampu untuk dilaksanakan seperti yang diyakini, tetapi sekurang-kurangnya proses ke arah penyampaian ilmu yang paling ideal itu cuba dihampiri.

Pendirian kami itu termasuklah (rujuk artikel ‘kritikan ke atas diskusi’) untuk tidak menjadi populis, tidak hanya sebagai bertujuan mengangkat mana-mana pihak atau figur tertentu, tidak hanya tempat memuaskan minda semata-mata, atau ingin diangkat sebagai ikon penggerak intelektual dalam kalangan pelajar, dan lain lain. Turut bersama pendirian kami ialah tidak bertujuan memenuhi dugaan (expectation) orang ramai dan juga ‘sekadar ada’ iaitu hanya memenuhi sasaran sekurang-kurangnya seminggu sekali, tanpa mengambil kira keperluan untuk berdiskusi pun.

Ubah Pembawakan?

Antara yang dirancang;

1 . Bagi mengatasi masalah buat ‘sekadar ada’, dan mengambil kira keseriusan dalam berdiskusi supaya tidak jadi sekadar diskusi, kita bercadang untuk mengurangkan kekerapan penganjuran diskusi Uni Massa. Melihat matlamat untuk membiasakan mahasiswa dengan diskusi kelihatan sudah tercapai, matlamat seterusnya ialah menganjurkan diskusi yang berbentuk serius dengan tujuan benar-benar ingin menghasilkan buah perbincangan yang masak dan bernas.

2 . Kami juga memilih untuk tidak berbincang isu-isu semasa, kerana menyedari peranan grup diskusi lain yang lebih terarah kepada mengendalikan perbincangan ini, maka adalah lebih baik kiranya kita mengiktiraf peranan mereka dan beri ruang untuk lebih menumpu ke arah itu, dan Uni Massa mungkin boleh fokus dalam perbincangan lain. Oleh itu, kita memilih untuk mengendali perbincangan yang lebih bernafas panjang dan berterusan dalam menggarap kefahamannya.

3 . Seterusnya kita dapati rakyat UIA – secara umum boleh dikatakan – sudah mengenali perbincangan yang patut mereka sertai dan tidak, maka elok kiranya bentuk diskusi diarahkan kepada satu matlamat yang spesifik. Walaupun begitu, Uni Massa masih mengekalkan bentuknya yang umum, cuma tema perbincangan akan ditetapkan secara spesifik mengikut minggu-minggu tertentu. Contohnya, minggu satu dan dua akan berbincang di bawah tema falsafah, seterusnya diikuti oleh tema ekonomi pada minggu tiga dan empat, dan kemudiannya di bawah tema sejarah, agama dan lain-lain.

4 . Selain itu, elemen penting yang ingin diterapkan dan dididik kepada audiens ialah melakukan kerja rumah (homework) sebelum hadir diskusi. Pelaksanaannya sangat memerlukan komitmen yang tinggi daripada pihak audiens dan juga penganjur. Pihak penganjur sendiri akan sentiasa mengemaskini laman di Facebook dari semasa ke semasa, menyediakan bahan bacaan dan rujukan yang berkaitan dengan perkara yang akan dibincangkan. Ini bertujuan memberi gambaran kepada audiens supaya perbincangan akan terarah kepada matlamat yang ingin dicapai ketika diskusi.

5 . Pemilihan audiens juga antara perkara yang diambil kira. Uni Massa tidak bercadang menjadikan ia sebuah diskusi yang tertutup. Jadi, perbincangan sentiasa terbuka kepada semua, tetapi akan difokuskan kepada kenalan yang meminati perbincangan tertentu itu. Adapun yang ingin menyertai, sangat dialu-alukan untuk turut serta dengan tinggalkan komen atau mesej kepada laman Uni Massa. Kami akan beritahu (notify) audiens yang dirasakan ada potensi untuk bersama perbincangan itu, dengan membuat ‘tag’ nama-nama pada ruangan komen pada ‘post’ diskusi itu di Facebook.

Kesimpulan dan Hebahan

Setakat dalam perbincangan kami, tenaga kerja mungkin akan terasa kekurangan kerana mungkin akan ada kekangan seperti komitmen pelajaran, persatuan dan lain-lain. Maka artikel ini bertujuan, selain sebagai catitan perancangan Uni Massa pada masa hadapan, juga sebagai mengalu-alukan sesiapa sahaja yang berasa berminat untuk menyertai grup penggerak Uni Massa.

Selain daripada semangat dan minat yang mendalam untuk bersama menjalani proses pembelajaran dalam hidup, juga luang sedikit usaha – kalau boleh dikatakan – untuk mendidik masyarakat supaya menjunjung martabat ilmu dalam kehidupan sebagai seorang muslim, disiplin dan komitmen adalah tersangat penting supaya segala perancangan dan impian akan dapat dipenuhi.

Mengambil semangat para ilmuwan muslim dari zaman dahulu, seperti Al-Farabi, Ibn Sina, Al-Ghazali, Ibn Rushd, dan lain-lain terutama faylasuf yang banyak memberi sumbangan baik kepada peradaban Islam bahkan Barat sendiri yang banyak terkesan, cara pembelajaran mereka sangatlah pelbagai. Bukan semesti secara formal di dalam kelas sahaja, malahan perbincangan terbuka sangat galak diadakan, selain pembelajaran secara paripatetik, pengembaraan dari tempat ke tempat dan lain-lain.

Apa yang paling mustahak ialah keseriusan dalam menuntut ilmu, jujur dengan ilmu, cintakan ilmu, dan bersabar dengan proses perjalanan yang memeritkan, serta kesungguhan yang tidak pernah padam untuk membina tamadun dan mewujudkan dunia yang diberkati, demi meninggikan kalimah Allah yang Tinggi.

Wallahu a’lam.

27/4/15

Rejab 8, 7:14pm

One thought on “‘Rebranding’ Uni Massa

Leave a comment