Sisi Pensejarahan yang Dilepas Pandang?

Dalam membaca sejarah, seringkali kita merasakan fakta-fakta yang diturunkan itu begitu mengagumkan dan menarik untuk diketahui. Tetapi jarang sekali kita merenung dan ‘menjadi sedar’ (conscious) akan kaedah pensejarahan yang digunakan dalam menulis naratif itu, yang mana adalah penting untuk menentukan hala tuju pembacaan sejarah itu ke mana.

Kalaupun tidak kita akan menulis sejarah semula, atau menjadi sejarawan besar, atau mengajarkan sejarah kepada orang lain, tetapi adalah penting untuk kita menjadi sedar akan perkara ini kerana setiap pembacaan sejarah kita akan membentuk cara fikir kita yang seterusnya, lalu mempengaruhi cara-tanggap kita terhadap kehidupan seluruhnya.

 

TAKRIF PENSEJARAHAN DAN FALSAFAH SEJARAH

Pensejarahan atau historiografi merupakan ilmu mengkaji kaedah penulisan sejarah. Ini termasuk juga kajian pada sumber sejarah, pendekatan, cara penulisan, ruang lingkup perbincangan dan cara pentafsiran.

Setiap penulisan naratif sejarah itu boleh dikelaskan ke dalam beberapa kelas-kelas tertentu. Pengkelasan ini bertujuan mengenalpasti cara fikir penulis sejarah itu, kebenaran sejarah daripada kekuatan sumber yang diambilnya, dan juga apa yang mahu disampaikan daripada tulisan itu termasuklah tujuan sejarah itu ditulis, dan keadaan yang mempengaruhi tulisan dan tujuan penulisan itu.

Antara contoh cara-gaya pensejarahan yang ada di Barat ialah seperti ‘Annales School’ – yang menumpukan kepada cara fikir yang mendasari (underlying mentalities) pemikiran manusia dalam tempoh sejarah yang tertentu, – ‘Diplomatic History’ – yang menumpu kepada hubungan kenegaraan (international relations) iaitu banyak mengambil daripada sumber bukti dokumen yang empirikal, – ‘Revisionism’ – yang mempersoal dan mengkaji semula (revise) tulisan sejarah yang telah diterimapakai secara meluas masa kini dengan menilai daripada sumber asal, – dan lain-lain kelas.

Falsafah sejarah pula merupakan satu ilmu yang mengkaji aspek pemikiran dalam penulisan sejarah. Ianya dibahagikan kepada dua iaitu ‘falsafah kritikal sejarah’ dan ‘falsafah spekulatif sejarah’.

Falsafah kritikal sejarah (critical philosophy of history) boleh disamakan dengan ‘pensejarahan’ atau ‘historiografi’ yang dibincangkan di atas, yakni berkaitan disiplin ilmu sejarah, iaitu perbincangan pada sifat bukti sumber sejarah dan juga kebenaran satu-satu naratif sejarah itu. Manakala falsafah spekulatif sejarah (speculative philosophy of history) membincangkan tentang sejarah yang berkenaan dengan pergerakan sejarah secara seluruhnya, dalam erti kata yang berkait antara sejarah yang lepas dan akan datang, seperti pemikiran sejarah Hegel.

 

BENTUK PENULISAN SEJARAH; MENCERAP PENGAJARAN

Sepanjang penulisan sejarah, tiada siapa yang mampu menafikan akan pasti wujudnya kecondongan sejarah (historical bias), tambahan lagi andai penulisan itu memang dibuat untuk mencapai tujuan tertentu.

Maka, seperti juga dalam pengajian statistik, bahagian mana yang mahu diketengahkan itulah yang dikumpulkan ‘sample’ daripadanya, yakni dalam kes pengajian sejarah, maklumat yang berkaitan dengan kejadian. Mengapa penulis sejarah itu memilih untuk memperihalkan akan kejadian itu berbanding kejadian lain? Mengapa nama yang sama diulang sehingga tiga-empat kali? Mengapa bahagian itu lebih panjang diulas berbanding kejadian yang lain?

Oleh itu, setegas manapun dikatakan penulisan itu adalah ‘seratus peratus fakta’, namun pastinya akan terpengaruh dengan tanggapan awal (preconception) penulis, termasuklah andai penulis sesungguh-sungguh mungkin menulis dalam keadaan jujur dan tidak menipu, penulisan maklumat itu tetap terbuka kepada pentafsiran penulis itu sendiri.

Ini adalah kerana pengetahuan sejarah itu bukanlah ilmu yang mampu mencapai tahap ‘yakin’ atau pasti, tetapi tidak pula mengatakan tiada kebenaran dalam penulisan sejarah itu, kerana satu-satu sejarah itu ditulis pastilah merujuk kepada suatu pengalaman atau kejadian tertentu, kalau tidak tidak pula dinamakan ‘sejarah’.

Intipati utamanya dalam hal ini ialah supaya kita kalihkan pandangan kita kepada ikutan dalam tradisi Islam, yang menulis sejarah itu bukan tumpuan utamanya (main focus) demi mencapai untuk mewujudkan ‘kebenaran seperti kenyataan’ (actualized facts), seperti yang dilakukan oleh sejarawan Barat. Akan tetapi lebih ditumpukan kepada pengajaran dan kebaikan yang mampu dicerap daripada pengalaman sejarah itu.

Sebab itulah kalau diteliti kebanyakan nama-nama kitab sejarah karangan sejarawan Islam dahulu adalah bertajuk seperti Kitāb al-ʿIbar (Kitab Pengajaran) oleh Ibn Khaldun, al-Mawaiz wa ‘l-I’tibar fi dhikr al-Khitat wa ‘l-Athar (Peringatan dan Pengajaran dalam memperihal Topografi dan Tinggalan-tinggalan) oleh al-Maqrizi, Kitab al-Tanbih wa ‘l-Ishraf (Kitab Peringatan dan Kemuliaan) oleh al-Mas’udi, dan lain-lain lagi.

 

PENSEJARAHAN MUSLIM; KEUTAMAAN SIRAH NABI

Walaupun ditulis sejarah itu demi mencerap pengajaran daripadanya, tidak sama sekali penulisan sejarah oleh sejarawan Muslim itu diambil ringan akan kebenarannya, bahkan tidak kalah, malah lebih awal menyusun ‘ilmu tawatur’ daripada ilmu pensejarahan Barat (Western historiography).

Tidak tepat sekali andai dikatakan sesuatu sejarah itu ditulis semata-mata bertujuan untuk mengambil pengajaran ‘sahaja’. Bahkan, untuk mencapai setepat-tepat kebenaran sejarah itu mestilah dititikberatkan dalam penulisan sejarah. Namun perlulah kita akur bahawa untuk melakukannya adalah satu proses yang amat sukar.

Kalau ditinjau daripada ayat al-Quran dalam Surah Yusuf, “Kami menceritakan kepada kamu ‘sebaik-baik’ kisah (ahsana ‘l-qasas),” yakni merujuk kepada kisah Nabi Yusuf yang kemudiannya pada ayat akhir surah yang sama disebut, “Demi sesungguhnya, kisah para Nabi itu mengandungi pengajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang yang berakal (uli ‘l-albab) .”

Dalam tradisi penulisan sejarah Islam, kaedah penyusunan dan himpunan Hadith menunjukkan proses yang teramat teliti yang telah dilakukan oleh Ulama Muhaddithun seperti al-Bukhari, Muslim, Tirmidhi dan lainnya. Kebenaran riwayat satu-satu Hadith itu terpelihara dengan sempurna sehingga setiap yang menerima Hadith itu merasa yakin akan jalur pemindahan Hadith itu apabila disebut siapakah perawinya.

Sebab itu, asas-asas Ilmu ‘Ulum Hadith seharusnya diketahui oleh setiap Muslim, apatah lagi dalam hal ini para pembaca sejarah. Kaedah ini turut boleh dipakaikan terhadap penulisan sejarah yang lain, iaitu pada mengkritik sumber sejarah contohnya seperti bagaimana kaedahnya dalam ‘Ilmu Rijal’ (Jarh wa ‘l-Ta’dil), ilmu pengkelasan taraf Hadith dalam ‘Ilm Musthalah al-Hadith’, dan lain-lain.

Dengan sebab itu juga, Sirah Nabawiyyah atau sejarah hidup Nabi Muhammad (SAW) adalah seharusnya yang awal untuk dibaca dan dihadam, berbanding kitab sejarah yang lain. Bukan kerana sebab-sebab “baca sejarah Hang Tuah konon, tapi Sirah Nabi sendiri tak ambil tahu”, akan tetapi disebabkan Sirah Nabi adalah, boleh dikatakan, sejarah yang paling diyakini dan pasti atas hujah sumber-sumbernya yang terpelihara sehingga kini.

 

PENTAFSIRAN KE ATAS ILMU BANTU

Ilmu bantu yang dimaksudkan di sini ialah disiplin lain yang digunakan bersama dalam penulisan sejarah sebagai membantu pemerihalan penulisan sejarah itu. Antaranya ialah ilmu sastera yang menghias dan menambah cantik bahasa yang digunakan bagi menggambarkan kejadian sejarah yang lebih tepat, atau lebih indah kepada pembaca. Ataupun ilmu kaji bumi (geography) dan ilmu lukis peta (cartography) yang disertakan dalam penulisan sejarah.

Terdapat banyak lagi ilmu bantu yang kebiasaannya penulis sejarah sertakan dalam penulisannya seperti ilmu kaji purba (archaeology), ilmu ekonomi, ilmu politik dan lain-lain. Tetapi yang menjadi persoalannya di sini ialah bagaimana ia ditafsirkan.

Ilmu bantu yang kini semakin meluas dan meyakinkan digunakan akhir-akhir ini ialah ilmu kaji purba (archaeology), kerana perkembangan teknologi yang sangat pesat lalu membolehkan jumpaan-jumpaan yang baharu ditemui hasil penggalian pada tapak-tapak tertentu.

Namun begitu, apakah benar pemerolehan kesimpulan (derivation of conclusions) yang dibuat hasil daripada jumpaan purba tersebut? Apakah kerana ditemui satu tapak candi Hindu sejauh 3 meter ke dalam tanah membuktikan wujud masharakat penganut Hindu yang aktif di kawasan itu? Boleh jadi disebabkan ia tertanam jauh itulah yang membuktikan masharakat di kawasan itu cuma melalui peralihan agama (temporary transition) sementara menerima ajaran Islam?

Penemuan satu-satu artifak itu tidak semestinya membuktikan lazimnya (prevalence) keseluruhan masharakat itu begitu, seolah-olah mudah sekali membuat pukul rata (generalization) dalam menghasilkan kesimpulan. Maka di manakah sebenarnya had-batas pentafsiran ilmu bantu ini? Sejauh manakah ilmu bantu ini boleh dijadikan nilai tambah dalam kebenaran sesuatu sejarah, ataupun setidaknya sebagai nilai tambah kepada cerapan pengajaran yang boleh diperoleh?

 

KESIMPULAN

Artikel atau rencana ini merupakan persoalan terhadap pemikiran dan penulisan sejarah sedia ada. Juga sebagai renungan kepada pembaca sejarah supaya meneliti semula ke mana arah pembacaan sejarah yang sedang dilakukan. Seharusnya aktiviti membaca sejarah itu bukan semata-mata menjadi hobi untuk mengisi masa lapang, tetapi adalah mustahak untuk mencorak bentuk pemikiran dan tindakan pada masa hadapan.

Dalam masa yang sama hendaklah disedari bahawa rujukan sejarah dalam Islam dan kaedah pensejarahan Muslim bukanlah mudah-mudah dipandang rendah daripada tradisi intelektual Barat, bahkan sebenarnya ‘titik pasti’ dalam pembacaan sejarah itu bersinar terang dalam khazanah tradisi Islam. Wallahu a’lam.

 

 

Amru Khalid Sazali – Tiara Titiwangsa

5:17am – Jumaat, 30 Disember 2016

Leave a comment