Ringkasan Kitab Kasb – Ihyā’ Ulūmiddin

Peraturan Dalam Bekerja

Keutamaan dalam bekerja diisharatkan oleh sabda Nabi (SAW) berikut ini: “di antara dosa-dosa [yang dilakukan oleh manusia] ada sebuah dosa yang hanya boleh dihapus oleh kebingungan (kesusahan) ketika mencari penghidupan.”

Nabi (SAW) juga pernah bersabda: “Seorang pedagang yang jujur itu pada hari Qiyamat nanti akan dikumpulkan bersama para ṣiddīqīn dan shuhadā’.”

Disebutkan dalam satu riwayat, “Sesungguhnya Allāh (SWT) sangat menyukai orang mukmin yang giat bekerja dengan ketrampilan yang dimilikinya.” Di sisi lain, Nabi (SAW) juga pernah mengatakan, “tidak diwahyukan oleh Allāh (SWT) kepadaku, ‘kumpulkanlah harta dan jadilah seorang pedagang’, akan tetapi yang diwahyukan kepadaku ialah, ‘bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu, jadilah engkau termasuk orang-orang yang bersujud. Dan sembahlah Tuhanmu sampai datang kematian menjemputmu.”

Ketahuilah bahawa sesungguhnya mengemis itu merupakan perbuatan yang sangat tidak disukai oleh Allāh, sedangkan aktiviti bekerja untuk memenuhi keperluan hidup dan mencari keredaan Allāh itu jauh lebih utama; kecuali bagi mereka yang mempunyai tugas mengurus kemaslahatan kaum muslimin. Di mana bagi mereka ini lebih utama jika memfokuskan diri untuk menjalankan amanah menjaga kemaslahatan ramai orang. Dan untuk memenuhi keperluan hidup mereka, harus dicukupi harta negara atau dari sumber-sumber lainnya yang dituntunkan oleh syariat.

Itulah sebabnya para sahabat menyarankan kepada Abū Bakar (RA) ketika menjadi khalifah, agar tidak berdagang lagi. Abū Bakar pun berhenti berdagang dan keperluan hidupnya sekeluarga dicukupi dari tunjangan negara atas tugasnya mengurus kemaslahatan rakyat.

——-

Syarat-syarat Pengesahan Mu‘āmalah

Jual beli itu mempunyai tiga rukun, iaitu: orang yang melakukan akad, barang yang diakadkan dan yang ketiga lafaz akad. Ada empat orang yang tidak boleh melakukan mu‘āmalah, iaitu: anak kecil, orang gila, hamba sahaya dan orang buta. Tidak dilarang untuk berjual beli dengan orang kafir. Akan tetapi tidak dibolehkan menjual muṣḥaf atau hamba yang Muslim kepadanya. Juga tidak dobolehkan menjual senjata kepada orang kafir yang sedang memberontak (kafir ḥarbī).

Tidak dibolehkan untuk menjual atau membeli khamar dan lemak dari haiwan yang najis. Akan tetapi tidak dilarang menjual lemak yang hanya terkena benda najis di luarnya sahaja (bukan berasal dari lemak haiwan yang najis). Juga dilarang menjual anjing serangga dan alat-alat muzik. Dibolehkan menjual permaidani bermotif dan menjadikannya sebagai alas. Ini berdasarkan pada ucapan Nabi (SAW) kepada ‘āishah (RA), “Gunakanlah permaidani yang bermotif itu sebagai bantal (alas tidur).” Tidak boleh dijadikannya sebagai hiasan dinding, dan tidak dilarang dijadikan sebagai alas duduk.

Barang yang dijual beli harus ada (wujūd), boleh diserahkan dan boleh dilihat oleh mata. Jual beli harus dilakukan dengan kalimat ījāb-qābūl atau timbang-terima.

Adapun mengenai barang-barang yang tidak bernilai tinggi, seperti makanan dan sejenisnya, sepertimana yang dikatakan oleh Ibn Suraij, bahwa bentuk transaksinya cukup diserahkan dan diterima, tanpa pensyaratan yang diberlakukan bagi transaksi yang bernilai tinggi. Kerana hal itu termasuk dalam keperluan pokok.

Sedangkan transaksi jual beli yang berkaitan dengan masalah ribā’, terdapat beberapa riwayat yang berisi ancaman berat bagi pelakunya (kedua belah pihak). Oleh itu, berwaspadalah terhadapnya. Mengenai transaksi jual beli yang dilakukan dengan cara mencicil itu tidak dilarang. Demikian pula dengan transaksi sewa-menyewa. Mengenai apa sahaja yang menjadi pensyaratannya, secara terperinci telah banyak diterangkan dalam kitab-kitab fiqh yang ada.

——-

Berlaku Adil dan Menjauhi Kezaliman dalam Mu‘āmalah

Ketahuilah bahwa sesungguhnya bentuk-bentuk mu‘āmalah yang sudah dinyatakan sah (boleh) oleh seorang mufti (pengeluar fatwa), berdasarkan petunjuk Al-Qur’ān dan Al-Sunnah, akan tetapi dalam amalannya disusupi oleh unsur kezaliman yang menjadikan pelakunya terkena murka Allāh (SWT).

Contohnya pedagang yang berusaha menimbun makanan yang dihalalkan, di mana pelakunya pasti dilaknat oleh Allāh (SWT). Atau menyembunyikan cacat (kekurangan) yang terdapat pada barang dagangan. Hal ini merupakan bentuk-bentuk kecurangan yang dinilai sebagai tindakan zalim.

Termasuk kecurangan yang lain ialah, mengubah posisi timbangan menajdi lebih berat daripada posisi yang lebih menguntungkan pedagang. Dan mengenai hal ini, khusus diingatkan secara keras dalam firman Allāh (SWT): “Kecelakaan (wayl) besar bagi orang-orang yang berlaku curang (al-muṭaffifīn).”

Dengan kata lain, semua jenis penipuan itu dilarang oleh Allāh dan RasūlNya. Dalam konteks ini, dilarang pula membeli suatu barang dari pihak yang benar-benar memerlukan wang (dalam keadaan terdesak) dengan harga serendah mungkin, di mana sebenarnya si pembeli tidak memerlukan barang yang dibeli kemudian menjualnya kembali dengan harga mahal.

Di samping itu, dilarang pula bagi orang kota melakukan pengamalan perdagangan yang biasa dikenali di sini dengan sebutan ‘ijon’ kepada orang dusun. Dan apabila seseorang hendak menjual sesuatu barang kepada teman dekat mahupun kerabat sendiri, maka si pembeli wajib diberitahu mengenai keadaan sesungguhnya dari barang yang dibelinya, serta harus sesuai dengan harga pasaran. Supaya di kemudian hari tidak ada penyesalan, kerana telah membeli dengan selisih harga yang jauh berbeza.

Dalam pengamalan mu’āmalah, seseorang harus sentiasa berlaku bijak dan tidak dibenarkan menipu orang lain dengan alasan apa pun. Mempermudah dalam urusan jual beli itu sangat dianjurkan, sebagaimana Nabi (SAW) pernah berdoa: “Mudah-mudahan Allāh merahmati seseorang yang mempermudah dalam hal menjual, membeli, membayar dan meminta hutang.”

Siapa yang memperolehi limpahan berkat dari doa yang pernah dipanjatkan oleh Rasululāh (SAW) itu, in shā’ Allah ia akan memperolehi keuntungan dunia dan akhirat dalam mu‘āmalahnya.

Nabi (SAW) juga bersabda: “Sesiapa yang memberi kelonggaran kepada orang yang sedang mengalami kesusahan atau membebaskan tanggungan yang sedang melilitnya, nescaya Allāh akan mengḥisāb amalnya dengan ḥisāb yang sangat ringan.”

Termasuk kebaikan di sini ialah, penjual bersedia membatalkan akad jual beli terhadap pembeli yang meminta hal itu. Sebagaimana Nabi pernah bersabda: “Sesiapa menolong orang yang menyesali jual belinya (membatalkannya), nescaya Allāh akan menolong memaafkan kesalahannya pada hari kiamat nanti.”

——-

Yang Harus Diperhatikan Dalam Jual Beli

Jangan sekali-kali engkau dilalaikan oleh perniagaan, sehingga demi mencari keuntungan di dunia engkau mensia-siakan keperluanmu akan urusan akhirat. Akibatnya engkau malah akan mengalami kerugian yang nyata. Hendaklah niatmu berniaga semata-mata bekerja untuk mencari pendaptan yang halal, menghindarkan diri dari mengemis dan mendapat reda Allāh, sebagai bekal bagi keperluanmu di akhirat kelak.

Ketahuilah, sesungguhnya para ulama’ salaf tidak suka menerima upah atas apa yang telah mereka lakukan untuk kepetningan orang lain, yang itu termasuk kategori ibadah dan fardu kifayah. Contohnya memandikan jenazah, menguburkannya, azan dan memimpin solat tarawih. Dan apabila mereka ingin mendapat keuntungan dalam perniagaan, maka pasar dunia bukanlah tempat yang boleh melalaikan mereka dari mencapai kepentingan akhirat. Hal itu mereka landaskan pada firman Allāh (SWT): “Lelaki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak [pula] oleh jual beli dari mengingati Allāh.”

Caranya ialah, dengan tetap berada di masjid sejak awal Subuh sampai masuk waktu Dhuha dan akan kembali lagi ke masjid setiap kali mengerjakan solat-solat farḍu berjemaah. Begitu juga ketika mendengar seruan azan [Zuhur], segera mereka tinggalkan segala bentuk mu‘āmalah duniawi. Ada seseorang dari mereka yang begitu mendengar seruan azan di tengah-tengah mengerjakan sesuatu, segera ia hentikan dahulu, lalu menuju tempat solat berjemaah.

Di manapun berada, hendaklah kita selalu ingat kepada Allāh (SWT). Terdapat beberapa keutamaan mengenai hal ini sebagaimana Nabi (SAW) pernah berpesan, “Apabila seseorang memasuki pasar [untuk tujuan berniaga], lalu membaca ‘lā ilāha illa Allāh waḥdahū lā sharīka lahū, lahu’lmulku wa lahu’lḥamdu yuḥyī wa yumītu wa huwa ḥayyun lā yamūtu biyadihi’lkhairu wa huwa ‘alā kulli shay’in qadīrun’ (tidak ada Tuhan selain Alllāh semata-mata yang tidak memiliki sekutu sama sekali. Kepunyaan-Nyalah seluruh kekuasaan dan hanya bagiNya-lah segala bentuk pujian. Dialah yang menghidupkan dan mematikan. Dia yang maha hidup dan tidak mati. Di tangan-Nyalah segenap kebajikan dan Dia maha kuasa atas segala sesuatu), maka Allāh menetapkan untuknya kebaikan yang tidak terkira.”

Seseorang muslim harus selalu mengawasi danmengawal mu‘āmalahnya dengan baik, semoga pada haro perhitungan amalan kelak, ia tidak mendapat kesusahan. Sebab, mu‘āmalah yang ia jalankan pasti akan diḥisāb oleh Allāh (SWT). Bahkan niat dalam bermu‘āmalah juga akan diḥisāb. Demikian pula dengan persoalan yang berhubungan dengan hak-hak orang lain, apakah ia telah menjaga atau telah mengabaikannya? Wallāhu a‘lam.

 

*Salin semula daripada terjemahan Ringkasan Ihya Ulumiddin.

2:25am — 3 Mei 2016

Leave a comment