Politik Ekologi

 

Menyedari drama tragis dan lucu politik Malaysia yang tak berkunjung sudah, akhir-akhir ini rakyat kelihatan muak dengan aktor politik yang kebanyakannya diragui tujuan sebenar mereka ke pentas politik. Apakah benar bermatlamatkan murni, berkiblatkan ideologi yang teguh, serta berkeupayaan lengkap? Atau cuma sekadar memenuhi ruang kosong yang selesa, atau mempunyai tujuan-tujuan lain yang tidak tentu? Bentuk wacana politik, pada saya, harus dirobah ke arah yang lebih efisien dan lebih berbentuk ‘knowledge-centered’ berbanding seperti yang sedia ada.

Projek pembodohan

Definisi bagi projek pembodohan ini boleh diperdebatkan sekian panjang sehinggakan seperti yang disebut oleh Schumacher sebagai perbincangan yang ‘diverged’. Ia tidak semudah mengatakan satu-satu tindakan atau pelaksanaan itu sebagai membodohkan masharakat, kerana yang dibodohkan itu pun perlu dirungkai dari sudut apa. Bagaimana yang dikatakan tidak membodohkan dan benarkah tindakan itu sememangnya bertujuan sedemikian pun boleh dipedenat panjang.

Bukan itu yang saya mahu bincangkan, tetapi yang menjadi kehairanan saya ialah walaupun terma projek pembodohan ini dilaungkan dengan meluas, sepertinya semua sudah sedia sedar bahawa setiap sudut penjuru masharakat harus membanteras projek seperti ini. Akan tetapi kelihatannya masih berterusan dalam keadaan yang sama. Kalaupun telah dibanteras projek pembodohan yang lama, beralih kepada projek pembodohan yang baru.

Serupa juga dengan sesetengah pejuang anti-taqlid. Kononnya melaung dan memperjuang kepada tidak bertaqlid, tetapi akhirnya bertaqlid kepada pejuang anti-taqlid. Ini berlaku apabila perjuangan itu berdasarkan semangat semata-mata tanpa ilmu asas yang mendasari perjuangan tersebut. Mereka hanya mengenal slogan ‘anti-taqlid’ sahaja tanpa benar-benar mendalami makna dan tujuan wujudnya penciptaan slogan itu.

Contoh mudah yang dapat diketengahkan ialah perjuangan yang pada awalnya bersungguh-sungguh melaung melawan korupsi, kezaliman, penindasan dan sebagainya hingga tercipta slogan tertentu. Tetapi akhirnya, yang tidak memahami falsafah yang mendasari penciptaan slogan itu akan terus melaung slogan itu, walaupun sebenarnya fokus masalah sebenar sudah teralih kepada masalah semasa yang lebih tepat untuk diselesaikan. Akhirnya, tiada apa yang diselesaikan dengan sebetulnya.

Wacana yang merugikan

Cara mendapatkan tempat dalam mata masharakat di Malaysia ini mudah saja. Asalkan pandai bermain sentimen, atau mempunyai karisma tertentu, sudah boleh menguasai dan memanipulasi fikiran masharakat.

Seperti dalam teori sosiologi yang diperkenalkan Weber, tiga cara bagi mengaut kekuasaan daripada masharakat iaitu ‘forklore and divine authority’ – iaitu mendapatkan kepercayaan kekuasaan dengan penceritaan dan keagamaan, ‘charismatic authority’ – iaitu dengan memiliki ciri-ciri karisma yang tertentu dan ‘bureaucratic authority’ – iaitu mendapat kuasa melalui kepercayaan terhadap ilmu yang dimiliki.

Jenis kekuasaan yang diperoleh melalui cara ketiga, iaitu melalui penguasaan ilmu, adalah yang sepatutnya terpakai dalam politik kita, di zaman serba teknologi dan kemudahan kepada informasi yang terlalu mudah untuk diakses. Bukan lagi masih tersekat dalam wacana sentimen, perkauman, dan agama.

Yang wajar dipersalahkan, pada saya, bukanlah rakyat yang kurang celik kepada ilmu pengetahuan dan kepentingan memperoleh ilmu, tetapi tertanggung sepenuhnya ke atas oportunis aktor politik yang hanya mengejar kepentingan sendiri, atau diragukan potensi dan matlamat sebenar mereka menjual diri, kononnya, kepada masharakat. Hakikatnya mereka inilah yang menggadaikan hak masharakat disebabkan kebobrokan amanah yang diserahkan kepada mereka.

Wacana yang mereka mainkan masih berlegar dalam isu perkauman, sentimen, dan keagamaan – yang dimanipulasi untuk kepentingan sendiri. Sedangkan tidak pernah pun mempunyai insentif untuk mencari sesuatu yang baru dalam menyegarkan wacana politik dalam masharakat.

Realiti masharakat Malaysia

Di luar negara, mungkin telah menjadi kebiasaan pun wacana persekitaran dan ekologi diangkat menjadi tema utama dalam masharakat. Mungkin kerana persekitaran di negara mereka lebih jelas dan terasa terjejas akibat ketamakan atau ‘ignorance’ sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab. Mereka tidak dapat tidak harus bersuara dan lakukan sesuatu demi menjamin persekitaran yang selamat demi kelangsungan hidup generasi seterusnya.

Manakala di Malaysia, wacana seperti ini adalah kecil dan kalau ada pun, tindakan yang diambil bagi memelihara persekitaran tidaklah begitu bersungguh-sungguh dan padu dek kerana selesanya kita dengan persekitaran Malaysia yang hanya sedikit terasa terjejas, berbanding negara luar. Kedudukan geografi negara ini pun sangat memberikan keselesaan kepada masharakat, dan agak sukar bagi menyedarkan masharakat Malaysia akan betapa kritikalnya keadaan bumi sekarang ini. Bencana yang berlaku di negara kita pun relatif tidak hebat, gunung berapi pun tidak ada.

Ini menyebabkan kita bersenang-lenang dengan keselesaan dan tidak mengambil peduli realiti yang berlaku di tanah lain di dunia. Kita sukar memahami mengapa perlu ditekankan sangat tentang kepentingan penjagaan bumi dan alam sekitar ini, sedangkan di sekeliling mereka tiada apa-apa yang menghairankan pun.

Antara kelakuan yang paling jelas menunjukan keselesaan masharakat Malaysia ialah sisa pembuangan makanan yang berlebihan dilakukan sesuka hati tanpa berasa bersalah sedikitpun, sedangkan di luar sana terdapat berjuta-juta manusia yang begitu terdesak mahukan setitis air. Dalam masa disebutkan tentang orang lain yang sesak sebegitupun kita masih sukar memahami jerih payah dan sesak itu kerana tidak pernah pun keselesaan masharakat Malaysia ditarik sebegitu rupa. Masharakat kita amat selesa.

Wacana bentuk baru

Penanaman ilmu dan pengetahuan dalam minda masharakat boleh diusahakan dengan cara ini. Bukanlah bermaksud keselesaan itu diminta untuk ditarik, kita amat bersyukur dengannya, tetapi manifestasi kesyukuran yang sebenar ialah dengan tindakan yang dilakukan bagi membuktikan tanda syukur itu.

Sepertinya bukti kesyukuran kita sebagai hamba Allah yang kita terhutang kewujudan denganNya, maka manifestasi kesyukuran itu sama sekali yang paling tepat adalah dengan melakukan ibadah kepadanya seperti solat – bahkan menggandakan solat dengan solat nawafil sebagai bukti yang lebih agung terhadap dalamnya rasa syukur kepadaNya.

Pemain politik sepatutnya sudah sedar bahawa atas kapasiti dirinya yang diberi harap untuk menjaga urusan negara, adalah sebagai tanggungjawab mereka melakukan perubahan dan mendatangkan kebaikan semula kepada mahsarakat. Mereka seharusnya sedarkan pula bahawa di tanah lain terdapat jiwa yang merana, maka pengurusan dalam negara haruslah mempunyai pertimbangan untuk setidaknya cuba menyumbang kepada mereka.

Bukan itu sahaja, antara lain caranya adalah dengan memperluas wacana seperti meletakkan manifesto yang mempunyai pertimbangan sebegitu. Secara automatik, masharakat akan mendapat kesedaran bahawa mereka bakal beri undi yang turut memakmurkan dan beri kebaikan yang sangat besar kepada bumi seluruhnya. Kesedaran masharakat pedalaman yang kadangkala tidak pernah cakna, membuang sampah ke dalam sungai dan sebagainya, turut terasa kesannya apabila pemimpin sendiri telah mewujudkan wacana itu sebagai satu perkara yang penting dan serius.

Perbincangan lain

Selain daripada isu pembuangan sisa yang tidak terkawal dan pembaziran sumber yang sangat besar, kos lepas yang tidak efisien, kesedaran tentang negara lain yang tidak senasib dengan Malaysia, banyak lagi perbincangan lain yang boleh ditekankan. Penanaman ilmu itu yang amat ditekankan.

Perbincangan terhadap kebajikan kepada haiwan juga boleh diketengahkan dalam wacana politik. Contohnya, pemeliharaan haiwan yang hampir pupus, diletakkan dalam manifesto, diperjuangkan – di peringkat nasional dan juga antarabangsa – sebagai menekankan kepentingan siratan makanan yang akan cacat akibat kepupusan satu-satu spesis haiwan. Ataupun pengawasan terhadap haiwan terbiar dipertingkatkan bagi mewujudkan suasana persekitaran yang lebih harmoni.

Bukan setakat itu sahaja, usaha ke arah memperluas penggunaan teknologi mesra alam pun boleh diketengahkan. Melalui rundingan dengan kerajaan, penggunaan teknologi mesra alam dapat diberikan subsidi sebagai galakan menjaga alam sekitar. Mempergiatkan industri penghasilan yang mesra alam juga boleh digandakan, selain mengadakan polisi cukai dan sebagainya bagi industri yang mencemarkan alam. Dengan ini masharakat akan sedar akan pentingnya penjagaan alam sekitar sebagai sebahagian daripada manusia itu sendiri.

Tidak lupa juga pengisian-pengisian yang boleh diberikan dalam program-program bagi menyucukkan kesedaran dan kefahaman yang lebih dalam tentang alam sekitar. Sebagai ‘public figure’, masharakat lebih mudah mempercayai dan menerima pegangan dan kefahaman daripada mereka, dan ini merupakan satu kelebihan supaya masharakat lebih terdidik dengan perkara yang mendatangkan manfaat dan kebaikan.

Penutup

Sebagai konklusi, amalan politik Malaysia tidak boleh terus dibiar dalam wacana lapuk yang merugikan. Selagi tidak diubah, selagi itulah masharakat tidak akan maju dan tiada nilai tambah bahagia yang boleh dirasai. Memulakan dengan Malaysia mungkin dianggap tidak signifikan, namun pada pengamatan saya, andai wacana ini teguh di sini, pasti ia bakal menjadi kuasa penentangan (opposing force) yang memberi tekanan kepada negara yang sebenarnya patut disalahkan atas kerosakan yang telah mereka lakukan kepada bumi dan persekitaran kita. Kalau bukan kita siapa lagi yang mahu menghukum mereka, atau kita pun sebenarnya tidak kisah dek seronoknya kita dibelenggu keselesaan hidup di Malaysia ini.

Sedarlah rakyat Malaysia, dunia perlukanmu !

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia.” (30:41)

——————————————————————————-

Amru Khalid S.

2:45pm syawal 9, 26/7/2015

Leave a comment