Menanggapi Ekonomi Heterodox

Tulisan ini merupakan analisis sementara, separa-masak, dan renungan terhadap persoalan ke atas pembelajaran ekonomi kini (setidaknya di UIAM). Ia juga merupakan cubaan untuk mengharmonikan perbincangan ekonomi heterodox dalam wacana ekonomi di Malaysia.

—————————————

Apa itu Ekonomi Heterodox?

Secara etimologi, ‘heterodox’ berakar dari Bahasa Yunani iaitu ‘hetero’; yang berbeza, dan ‘doxa’; bermaksud pandangan (Collins Dict). Apabila diletakkan bersekali dengan perkataan ekonomi, sesetengah ahli ekonomi mendefinisikan ekonomi heterodox sebagai analisis dan pembelajaran prinsip-prinsip ekonomi di luar ekonomi arus perdana (mainstream), atau boleh disebut juga sebagai ‘orthodox’ (Frederic Lee, 2008). Maka, secara ringkasnya ia merupakan perbincangan ekonomi selain daripada ekonomi arus perdana.

Akan tetapi, perkataan heterodox ini mempunyai konotasi yang, pada sesetangah pihak, negatif. Oleh sebab itu, ramai yang tidak mahu mengasosiasikan pandangan mereka ke dalam golongan heterodox ini. Namun begitu, hendaklah difahami dengan jelas bahawa wacana ekonomi heterodox ini adalah bukan satu perbincangan yang berkaitan dengan aqidah, dan seumpamanya yang sensitif, tetapi haruslah kita berlaku adil dalam meletakkan perbincangan ini pada tempatnya, iaitu dalam sfera perbincangan ekonomi.

Di samping itu, heterodox juga didefinisikan dari sudut sosiologi dan intelektual. Heterodox yang dimaksudkan dari sudut intelektual adalah kerana bercanggahnya perbincangan ekonomi itu daripada teori, methodology dan suasana politik semasa. Dari sudut sosiologi pula, ia mendatangkan erti kurangnya prestij dan pengaruh perbincangan ekonomi heterodox ini pada masa tersebut (Dequech, 2007).

——————————————

Sifat Ekonomi Heterodox

Ekonomi arus perdana (mainstream) yang dimaksudkan di sini ialah perbincangan ekonomi yang kebiasaannya mendominasi silibus di institusi-institusi pengajian, yang dikenalpasti berlegar sekitar perbincangan ‘growth’, ‘production’ dan ‘wealth’, dengan menggunakan andaian (assumptions) atau pegangan ‘rationality-individualism-equilibrium’. Sifat ekonomi arus perdana ini juga dilihat tandus nilai kerana tema utama perbincangannya telah sekaligus mengetepikan persoalan ‘poverty’, ‘moral’, dan ‘justice’, yang sepatutnya lebih utama dipandang dari sisi kemanusiaan.

Berlawanan dengan itu, perbincangan ekonomi heterodox pula boleh dikatakan sebagai satu susunan idea ekonomi alternatif yang kebanyakannya mempunyai pegangan “institutions-history-social structure” (John Davis, 2006). Yang pastinya, di bawah payung ekonomi heterodox ini, mereka berkongsi pandangan tentang penolakan atau mengkritik sistem ekonomi neoklasik atau orthodox neoliberal ini, terutama dalam menangani cara menanggapi persoalan dan permasalahan dalam ekonomi (Frederic Lee, 2011).

Satu lagi sifat yang digunapakai dalam ekonomi heterodox ialah sesetengahnya mengamibil pendekatan ‘multidisiplin’ dan ‘transdisiplin’ dalam perangkaan sistem ekonomi mereka, iaitu dengan mengambil perkiraan (considerations) yang lebih luas dan mampu memberi penyelesaian yang lebih komprehensif kepada masalah ekonomi.

—————————————–

Kenapa Ekonomi Heterodox?

Persoalan yang selalu diajukan juga ialah apakah keperluan untuk mengelaskan diri atau idea dalam sesuatu gelaran yang sedemikian. Mengambil pendekatan teori ‘class consciousness’ oleh Marx, dikembangkan oleh Georg Lukacs dalam karyanya History and Class Consciousness (1923), golongan pekerja (proletariat) akan lebih mudah tiba kepada ‘kesedaran kelas’ disebabkan pergelutan yang berterusan dalam penindasan sistem kapitalis. Lalu seperti yang diramalkan teori ini, para pekerja akan lebih bertegas dan bersatu melawan sistem yang menekan mereka sehingga melakukan revolusi.

Bukan idea ‘revolusi’ yang ingin ditekankan di sini, tetapi pada kesepaduan dalam menggolongkan diri atau idea ke dalam satu persepakatan, yang mana akan menghasilkan satu daya tekanan yang lebih tegas dan ampuh dalam mengusahakan pembetulan dan penambahbaikan dalam sistem ekonomi sedia ada, seperti yang kita maklum terdapat banyak kelompangan dan kegagalan yang tidak mampu diuruskan oleh sistem ekonomi neoliberal.

Maka dengan kesepaduan ini, – yang mana dengan kesedaran untuk akur bahawa idea-idea bukan mainstream ini kebiasaannya ditolak tepi, kurang didengari dan mendapat kepercayaan, dan juga masih belum mampu diimplementasi – akhirnya akan membentuk satu daya tekanan (opposing force) yang lebih meyakinkan, ditambah pula dengan tujuan dan matlamat yang dikongsi oleh idea-idea di bawah payung heterodox ini.

———————————————

Menanggapi Fungsi Perbincangan Diketengahkan

Kebanyakan orang melihat bahawa perbincangan ini adalah bertujuan mewujudkan satu sistem ekonomi alternatif, seolah-olah kita mahukan satu lompatan dari sistem yang sedia pakai kepada sistem yang lain. Dengan kata lain, seperti menukar almari meja kayu kepada almari meja plastik sebagai tempat kerja (workplace).

Ia pada saya, tidak praktikal kerana ia akan melibatkan perpindahan yang rumit kerana perlu memindahkan buku-buku yang banyak, bersama wayar-wayar alatan teknologi yang berselirat, serta papan planner yang penuh bertampal dan tidak boleh diganggu kedudukannya, dalam masa yang sama tugasan yang hadir tidak berhenti walaupun seketika.

Begitu juga analogi untuk sistem ekonomi, walaupun penambahbaikan sistem sedang dijalankan, amat rumit sekiranya hendak bertukar terus kepada sistem ekonomi yang lain kerana akan melibatkan banyak manusia di dalam sistem, juga ikatan dan hubungannya dengan yang manusia lain pula, serta rancangan penerusan hidup mereka yang sudah difikirkan, dalam masa yang sama aktiviti ekonomi sentiasa berjalan dan tidak berhenti (atau sebolehnya tidak mahu dihentikan).

Oleh yang demikian, saya menanggapi ekonomi heterodox ini adalah satu perangkaan sistem yang menjadi daya tekanan (opposing force) untuk menambahbaik sistem yang sedia ada, dengan menyertakan perkiraan-perkiraan yang ditinggalkan. Ia bertindak sebagai meluaskan perbincangan ekonomi yang sedang diamalkan supaya menjadi semak-imbang, dan juga menghukum keatas pengabaian (ignorance) terhadap fokus yang patut ditekankan.

—————————————-

Persoalan dan Ironi

“In addition, heterodox economics seeks to embed social and historical factors into analysis, as well as evaluate the way in which the behavior of both individuals and societies alters the development of market equilibrium..” (Carlo D’Ippoliti and Alessandro Roncaglia, 2014)

Dengan keinginan untuk mengetengahkan perbincangan ekonomi heterodox, perbincangan yang menjadi prasyarat ialah pengetahuan tentang sejarah pemikiran ekonomi (history of economics thought). Ini kerana ekonomi heterodox mengambil kira analisis faktor sejarah dalam perangkaan sistem mereka. Maka, tidak dapat tidak perkembangan dan pembentukan pemikiran ekonomi harus diteliti terlebih dahulu.

Di UIAM, ekonomi Islam yang diajar di dalam kelas, masih dalam perangkaan dan pembentukan (development) model serta visi ekonominya. Pandangan alam (worldview), methodology perangkaan, dan pengumpulan untuk mengkonkritkan sisi normatif-nya, serta inkuiri terhadap visi ekonomi Islam yang ideal sedang giat dibentuk. Ironinya pengajaran sejarah pemikiran ekonomi tidak ditekankan, bahkan tidak disertakan pun dalam silibus pembelajaran.

Maka bagaimana hendak membentuk sistem ekonomi Islam dengan lebih baik sekiranya tidak dapat membandingkan, ataupun tidak pernah melalui dan memahami bagaimana penstrukturan pemikiran ekonomi selama ini terbentuk dalam sejarah?

Oleh yang demikian, pembelajaran sejarah pemikiran ekonomi seharusnya menjadi subjek  dan penelitian wajib ke atas pelajar ekonomi, lebih-lebih lagi bagi mereka yang berhasrat meneruskan pembentukan ekonomi Islam. Seterusnya perbincangan ekonomi heterodox juga adalah mustahak diteliti kerana tanpa meneliti kritikan-kritikan ke atas sistem sedia ada ini, maka tidakkah struktur ekonomi yang akan dibentuk kemudian bakal mengalami kelompangan dan kekurangan yang sama ?

—————————————–

Amru Khalid S. – Bilal C3.2

14-Oktober-15 – 04:06am

Leave a comment