Mengapa perlu Meng-kritik (Menilai persatuan pelajar Universiti)

 

Perkataan ‘kritik’, atau ‘kritikal’ sering sekali didengari hari ini, lebih-lebih lagi dalam dunia akademik, seperti ‘critical sociology’, ‘critical theory’, ‘literary criticism’, ‘critique of political economy’ dan sebagainya. Apa yang sebenarnya manusia-manusia ini fikirkan? Apakah kerana berseronok untuk mencari kesalahan dan kekurangan orang lain?

Meng-kritik merupakan perbuatan menolak sesuatu yang berlaku atau sesuatu kenyataan, dengan cuba mendatangkan hujah atau bukti yang lebih baik dan kukuh. Menjadi kritikal bermaksud melakukan perbuatan tambahan dalam merenung, meneliti, dan menggarap semula makna sesuatu perkara dengan menyoal, menguji-cabar dan memikir-ulang akan perkara tersebut.

Mengapa wujud sesetengah orang yang melakukan perbuatan meng-kritik ini kalau lebih mudah menerima sahaja segala sesuatu dan terus jalankannya tanpa perlu menyusahkan diri menoleh ke belakang dan menjadi peka terhadap keadaan sekeliling? Bukankah lebih selesa dan tenang untuk terus merasa lapang akan apa yang sedang dilakukan, yang turut dilakukan sama dengan kebanyakan orang lain? Untuk apa perlunya menongkah arus, memaksa dan menyakitkan diri sendiri sedangkan yang mahu dicapai itu adalah bahagia dan kesenangan, bukan?

Immanuel Kant, dalam Critique of Pure Reason, ketika memperihal akan keadaan zaman hidupnya sehingga menggelar “… our age is the age of criticism”, yang mana dikaitkan dengannya punca kepada berlakunya keleluasaan kritikan ini ialah kerana ketidakseimbangan dunia, keraguan yang menimpa-nimpa, kekeliruan yang menyesakkan, dan kebinasaan yang mendurjana.

Tidaklah mahu disamakan keadaan kita atau mana-mana dunia Muslim dengan keadaan Barat, akan tetapi tidak jelaskah lagi kerosakan dan kemunduran yang berlaku di sekeliling kita? Masihkan kita mahu hidup dalam penafian, lalu menutup mata dari kesengsaraan dunia?

Keberlarutan keadaan di atas ini sehingga menyebabkan, dalam keadaan ini, adalah satu kesalahan (dosa?) untuk kita yang celik dan dianugerahi peluang yang lebih baik ini berdiam diri dan berasa selesa dengannya. Apatah lagi jika kita dianugerah pelbagai kesenangan dan kesihatan serta kewangan yang stabil untuk hidup, untuk terus berasa tenang dan mahu terus selesa dengan keadaan diri dan sekeliling.

 

Dayafikir Para Pengakur (Conformists Mentality) —–

Kini, apabila diamati, terlalu ramai manusia yang mempunyai dayafikir pengakur ini. Usahlah menyalahkan sistem, institusi dan sebagainya andai diri sendiri masih memilih untuk hanya merasa selesa dengan segala apa yang dilalui sehari-hari.

Rasa selesa yang mereka terima itu tidak mahu diganggu langsung, dan sebolehnya dikekalkan malah mahu ditambah-tambah lagi keselesaan itu. Lebih parah, ada yang tidak menyedari dirinya tergolong sama, kerana disangka sedang melakukan sesuatu, lalu menjustifikasi perbuatan mereka dengan perkataan ‘perjuangan’! Padahal tiada apa yang diperjuangkan melainkan laungan kosong (baca: bermain slogan) dan mengikut-ikut apa yang dilakukan orang lain atau orang yang sebelumnya.

Cara fikir begini begitu mencengkam ramai manusia yang tidak mahu menjadi kritikal atas apa yang sedang dilakukan, atau yang diperkatakan. Ditambah pula dengan jiwa yang sukar menerima perbezaan dan percanggahan dari pihak selain pihaknya.

Kadangkala orang begini cuba mengeluarkan hujah tersendiri dalam memperihalkan perbuatannya itu, namun dek kerana keangkuhan dan keyakinan terlampau daripada dirinya menyebabkan dia dibutakan daripada melihat dan menilai dengan lebih tepat. Pandangan yang bertentangan dengannya ditolak mentah-mentah, dan dilempar daripada diambil kira.

Kebencian menguasai persekitaran fikirannya dalam membuat penilaian. Tiada kompromi dibenarkan yang mampu mencabar keselesaan dirinya. Tiada yang dibenarkan menggugat atau megganggu ‘status-quo’.

Dalam bahasa kita, bolehlah digelar orang begini dengan gelaran ‘Pak Turut’!

 

Ada apa dengan Kritikan? —–

Pengamalan kritik seharusnya dilakukan dengan teratur dan tersusun, dan tujuannya adalah untuk menolak atau menggantikan sesuatu itu dengan sesuatu yang lebih baik. Maka penghujahan mestilah didatangkan dengan sempurna di atas tapak yang sama, bagi membandingkan antara keduanya dengan tepat.

Kritikan boleh pula dibalas dengan kritikan yang lain, maka kukuhnya suatu kritikan itu dinilai pada sudut hujahnya pada kesesuaian kesemasaan masing-masing. Oleh itu, hujah yang lemah akan diatasi oleh hujah yang lebih kuat, walau dari siapapun ia datang.

Dengan itu, hujah seharusnya mengatasi kepercayaan, yakni dengan hadirnya kefahaman kekuatan hujah itu mengakibatkan beralihnya kepercayaan. Dengan bertukarnya kepercayaan dan kefahaman, bertukarlah perbuatan.

Hujungnya, dunia akan digerakkan dengan kritikan-kritikan ini supaya ‘makna’ yang difahami dan dipercayai dalam satu-satu perkara itu sentiasa segar. Marx pernah menyebut “we do not dogmatically anticipate the world, but only to find the new world through criticism of the old one”.

Ini bererti barangsiapa yang merasakan dunia ini yang semakin sempit, tidak seimbang, penuh binasa dan menindas, haruslah bersungguh-sungguh melakukan sesuatu untuk mengubahnya. Dan ia mestilah bermula dengan menjadi kritikal.

 

Pengamatan Keadaan Mahasiswa Sekeliling yang Menyedihkan —–

Pemerhatian daripada proses kempen dan pilihanraya dalam kulliyyah yang baru selesai, didapati wujud sekelompok manusia yang menggerakkan dirinya atas dasar yang mendukacitakan. Dari luarnya, mereka akan dilihat sebagai orang-orang yang ‘komited’ dan bersemangat, sepertinya mereka mempunyai sesuatu yang ingin diperjuangkan.

Namun apabila diteliti semula, tiada lain yang diinginkan mereka melainkan keseronokan dan melagu-lagukan sentimen-sentimen yang tidak munasabah. Mereka membenci kehadiran gelombang manusia-manusia yang berfikir, dan mencabar status-quo serta keselesaan keadaan mereka sedia ada.

Kenapa benci? Tidak lain adalah kerana mereka takut keselesaan mereka digugat, kerana mereka adalah daripada jenis manusia yang malas berfikir! Dan manusia yang malas berfikir dan memerah keupayaan akal ini adalah mereka yang tidak bershukur dengan kurniaan teristimewa untuk setiap manusia.

Sebolehnya wakil yang mereka mahukan untuk terajui kepimpinan mereka adalah yang suka akan keseronokan dan mewujudkan hiburan yang berterusan. Ini berlaku apabila dilihatnya badan pelajar itu sebagai platform untuk bersuka ria semata-mata, dan tempat melepaskan penat lelah mereka dalam pelajaran yang dilalui sehari-hari dalam kelas. Ini berlaku kerana mereka tidak faham akan maksud dan tujuan ‘Universiti’!

 

Tujuan Tinggi (higher purpose) Sebuah Persatuan Pelajar —–

Tidaklah dinafikan bahawa wujud pelbagai kekangan dalam menerajui sesebuah persatuan pelajar, tetapi andai selamanya pasrah dan tunduk dengan kekangan yang ada, maka ada apa lagi yang diperjuangkan?

Untuk menjadi sebuah entiti yang mahu dan boleh melakukan perubahan, semestinya dahulu ia mempunyai ‘autonomi’, iaitu kebebasan mandiri dalam membuat keputusan dan tindakan. Lalu mampu mempengaruhi proses perjalanan pengendalian ahli di bawahnya.

Sesebuah persatuan pelajar hendaknya mengenalpasti halatuju matlamatnya terlebih dahulu, dan seharusnya mengambil kira peranan keilmuannya, memandangkan ‘Universiti’ itu bermatlamat melahirkan manusia yang sempurna ilmu dan budinya.

Maka, andai masih terperangkap dalam perjuangan untuk menyedia pelajar menjadi zombie industri semata-mata, amatlah rugi keadaannya. Sebaliknya, persatuan pelajar itu sepatutnya membantu dalam menyedarkan untuk berfikir akan masalah masharakat, dan mencari penyelesaian kepada punca masalah tersebut.

Dalam keadaan ekonomi yang tiada menjamin pekerjaan pun dengan sijil sekeping itu, lebih baik menyibukkan diri dengan kemahiran-kemahiran lain di sekeliling yang akhirnya mampu menyumbang kepada penyelesaian masalah dalam masharakat.

Sudah-sudahlah menganjur program yang tiada hala tuju, atau tujuan-tujuan picisan, yang cara-kendali program itu pun tidak berkesan dalam mencapai tujuan itu. Sudahlah tujuannya lekeh, cara-kendali pula sambilewa, tiada usaha pun memikir alternatif yang lebih mendalam. Strategi kosong!

 

Cadangan dan Kesimpulan —–

Dari pemerhatian, kita memang dapat lihat betapa masih ramai para pelajar yang tiada cakna pun dengan persatuan pelajar rasmi dalam kulliyyah, dan dilihat tiada usaha pun untuk menukar cara dan strategi untuk menyantuni mereka.

Apa yang boleh dicadangkan ialah pastikan setiap projek (berlawanan dengan program) yang dirancang adalah ‘inklusif’ dan menonjolkan signifikan dan impak yang jelas kepada kesemua ahli persatuan.

Berhentilah hanya membontoti segala apa yang dilakukan pada waktu yang lepas, hanya kerana ia ‘pernah’ dilihat berjaya. Persoal semula makna ‘berjaya’ itu. Tetapkan azam dan matlamat, supaya tiada terkapai-kapai dalam pengendalian untuk mengejar ‘berjaya’ itu.

Kembali semula kepada kekuatan kita, yakni akal kita sebagai manusia. Perkasakan daya berfikir untuk mencari penyelesaian masalah, supaya segala usaha kita benar-benar mendatangkan manfaat kepada masharakat seluruhnya.

 

 

Amru Khalid Sazali – Jam 1:15am

11 Disember 2016 – Cheras Jaya, Selangor

Leave a comment