Meneliti Meta-Prinsip Ekonomi Moden dan Kesannya kepada Kewangan dan Perbankan Islam

Oleh: Yusuf Jha

Terjemahan: Amru Khalid

Niskala: Prinsip asas ekonomi neo-klasikal moden, sepertimana disiplin sains sosial yang lain, telah terpengaruh dengan keseluruhan haluan pemikiran pasca-pencerahan yang sekular dan humanistik, berserta akar epistemologinya seperti rasionalisme, individualisme berkaedah termasuk juga anggapan terhadap keunggulan dan mengagung-agungkan penggunaan kaedah saintifik dalam menilai semua bentuk ilmu. Kertas kerja ini mencabar bahawa pendekatan ‘Ekonomi dan Kewangan Islam’ adalah tempang dalam mengkaji dan mendepani prinsip-prinsip ini, di mana tanpa berwaspada telah menebalkan lagi struktur permasalahan yang serupa, yang pada niat asalnya adalah untuk mengubahnya.

Kata kunci: Ekonomi; epistemologi; Kewangan Islam; Ekonomi Islam; pemikiran pasca-pencerahan; rasionalisme saintifik.

 

“Tiada maknanya sesuatu yang disebut sebagai pengetahuan bebas-falsafah; yang ada hanyalah pengetahuan yang bungkusan falsafahnya diangkut bersama tanpa diperiksa.” (Daniel Dennett)

 

Pengenalan

Tradisi Islam, seperti juga tradisi utama agama lain, amat menitikberatkan tentang wawasan, niat dan matlamat. Sepertinya soalan al-Qurʾān, “Maka ke manakah kamu hendak tuju,” (Q 81:26) menperdengar akan pembacanya supaya senantiasa meneliti akan niat masing-masing, berserta tanggapannya berkenaan dengan matlamat utamanya yang dikejar dalam tiap-tiap usaha.

Kedua-dua aspek rumit yang saling bergulat di antara alat dan matlamat ini adalah amat mustahak. Khususnya dalam memeriksa peranan dalam mana-mana sains tabii atau sains sosial, termasuklah dalam ekonomi.

Tidak hanya tertakluk dari kacamata Islam sahaja, E.F. Schumacher pun menyeru di dalam karyanya Small is Beautiful yang mengetengahkan bahawa kesemua ekonomi itu adalah diasalkan daripada suatu ‘meta-prinsip’ daripada lingkungan pemikiran terpandu yang lebih luas.

Adalah merupakan pendirian Schumacher bahawa ia adalah satu pilihan yang berdaya-hidup tentang apa yang beliau fikir bahawa lebihan kebendaan (materialist excesses) dalam ekonomi moden adalah sebaiknya ditangani dengan pemikiran dan kesedaran yang bersandarkan iman (faith-based).

Walaupun beliau menggunakan Buddhisme sebagai misalan penjelasan ini, namun beliau menukil, “Pemilihan Buddhisme untuk tujuan [penerangan] ini adalah semata-mata suatu kebetulan; ajaran Kristian, Islām atau Yahudi mungkin sahaja digunakan seerti dengannya.”

Prinsip asas kepada sistem ekonomi yang Schumacher tekun untuk mengubahnya telah berjalan dengan baik sudah sejak berkurun sebelumnya. Kertas kerja ini bertujuan menggariskan silsilah intelektual dan sejarahnya kepada prinsip ini, kerana ianya adalah berkait secara terus kepada perdebatan yang mengambil kira makna, kandungan, dan tujuan Ekonomi Islam dan Kewangan Islam. Juga sebagai pembetulannya, atau sebaliknya pencapahan daripada halatuju mereka.

 

Bekasan daripada Penjajahan

Disebabkan oleh kedatangan penjajahan di tanah Muslim, rata-rata dunia Islam telah diperkenalkan kepada aturan ekonomi celupan Barat (Western-imposed) yang tiada rapi. Ini telah mengakibatkan kerosakan dan kebinasaan yang sistemik, iaitu terpisah daripada struktur dan institusi sosioekonomi tradisional yang asalnya.

Hasilnya, kebanyakan institusi yang ada kaitan dengan kewangan yang wujud dalam dunia Muslim pada hari ini, seperti pasaran modal, syarikat dll. adalah sukar untuk mencari jejaknya dalam tamadun Islam lampau. Disebabkan itu, sudut pandang dan kefahaman masakini dalam memahami penciptaan kekayaan (wealth creation), hutang, risiko, dll. adalah semuanya digambarkan oleh kepercayaan dan dongengan yang sangat asing daripada dunia Muslim. Boleh dikatakan, “peralihan besar Barat” itu yang mengubah struktur politik, ekonomi dan sosial, juga hubungan kemanusiaan pada zaman Pertengahan itu tiada pernah mengambil tempat dalam Dunia Islam.

Sebagai akibat, berserta dengan nyah-penjajahan itu, empat atau lima dekad terakhir ini telah melihatkan cubaan oleh Dunia Islam untuk kembali kepada Islam. Di mana ilmuwan dan para akademik sedaya upaya menyusun semula ilmu ekonomi dan sains sosial yang lain ke dalam sudut pandang prinsip normatif Islam.

Bagaimanapun, boleh dikatakan yang disebutkan tadi hanya telah sedikit sekali berjaya menjadikannya nyata. Ilmuwan seperti Nasr menekankan bahawa kerja teoretikal dalam Ekonomi Islam “gagal melepaskan diri daripada daya tarikan berpusar oleh pemikiran ekonomi Barat”, malah “terperangkap pula dalam sarang intelektual Barat yang mana asalnya berkehendakkan untuk diganti.”

 

Kegagalan Intelektual Ekonomi Islam

Pernyataan bahawa Ekonomi Islam telah gagal adalah bersandarkan pandangan bahawa projek ini telah tergelincir sejak dari mula lagi. Iaitu merujuk kepada tidak berjayanya membongkar semula asas epistemologi dan sosio-sejarah Ekonomi Moden (iaitu tiang asas meta-prinsipnya), dan seterusnya gagal mengubahnya kepada bentuk yang selari dengan pegangan normatif Islam.

Menurut Syed Naquib al-Attas, inilah kuncinya kepada keberjayaan ‘Islamisasi Ilmu’; iaitulah falsafah asas yang mendasari ilmu itu disusun semula secara kritikal ke dalam kerangka tawḥīd (metaphysics) dan ilmu kaji-nilai (axiology) Islam. Seperti yang dikedepankan oleh al-Attas dengan merujuk kepada sains secara umumnya:

Kita bersetuju bahawa Agama adalah selari dengan sains. Tetapi ini tidak bermaksud bahawa Agama adalah selari dengan kaedah dan falsafah sains moden. Memandangkan tiada sains yang bebas-nilai, kita mestilah mengkaji dan mendalami nilai dan pertimbangan yang sedia wujud, atau yang sejajar, kepada persangkaan dan tafsiran sains moden. Kita tidak boleh dengan cara tidak peduli dan tidak kritikal menerima setiap teori saintifik atau falsafah tanpa dahulunya memahami kesannya dan menguji kebenaran nilai yang terhasil bersama teori tersebut.

 

Dalam semangat menjunjung usaha ini, kertas kerja ini menegaskan bahawa meta-prinsip ekonomi moden adalah sebaiknya ditelusuri sehingga ke pemikiran pasca-pencerahan yang timbul di Eropah Barat. Ia merupakan tempoh zaman pencerahan mereka dan seterusnya menghala kepada haluan seterusnya, yang disebut “kemajuan teknikalisasi[1]”. Ia telah menandakan suatu jalan dilalui oleh Eropah Barat pada kurun ke-tujuh belas dan ke atas.

Secara umumnya, ini ditandakan dengan melihat kepada peralihan pemikiran daripada pemikiran keagamaan kepada pemikiran sekular, dan suatu peralihan struktur masharakat daripada masharakat ‘tradisional’ beransur-ansur kepada masharakat ‘rasional’.

Dalam bukunya Ascent of Humanity, Charles Eisenstein berhujah bahawa pada tempoh waktu inilah yang menunjukkan pembangunan pemikiran yang muktamad oleh program saintifik dan teknologi, yang disebut sebagai dongeng yang mentakrif kemodenan. Pada waktu itu, pepatah lampau oleh Protagoras (500 BCE) telah mendapat semangat baharu, yang mengkehadapankan apa yang Nietzsche sebut sebagai “kematian tuhan”, yang menandakan ketibaan ‘manusia rasional’ dan akhirnya ‘manusia ekonomi’ (homo economicus).

Seperti yang ditulis Eisenstein, walaupun prosesnya berperingkat, boleh dikatakan ianya nama-nama besar bagi Revolusi Saintifik – Galileo, Newton, Descartes, Leibniz, Bacon di mana dalam takrifan dan pembilangan mereka, gerakan, jisim, tenaga dan daya, akhirnya akan menyediakan tiang asas konsep dan kaedahnya, yang mewujudkan apa yang digelar “perwujudan alam”[2] (objectification of nature).

Sepanjang tiga kurun seterusnya, proses ini telah berterusan beransur-ansur menguasai dan mempengaruhi terutamanya semua bidang ilmu akademik arus perdana (termasuk ilmu ekonomi).

 

Meta-prinsip Ilmu Saintifik

Kertas kerja ini ingin mengetengahkan unsur-unsur kunci dalam ilmu saintifik oleh golongan pasca-pencerahan yang sangat mempengaruhi bidang ilmu hari ini, iaitu seperti berikut:

  1. Penekanan terhadap pensekularan dan pembasmian rasa suci dan kudus

Bawaan pemikiran daripada zaman pencerahan dan ke depan boleh dikatakan dilihat sebagai perubahan paling mendadak dalam memisahkannya daripada aspek ilahiyah. Fizik Galileo, Descartes dan Newton memaksudkan bahawa dengan hukum gerakan yang terbaru mereka, segalanya tetap bergerak dengan sendirinya melalui hukum ‘rasional’ dan semulajadi.

Oleh itu, dengan gerakan yang berwujud secara luaran kepada bahan, dan yang terpindah di antara bahan-bahan, Tuhan dilihat tiada perlu lagi untuk mentadbir dunia ini. Descartes dan lainnya turut menyatakan bahawa haiwan cumalah jentera, yang tiada jiwa dan ruh, yang diperlukan untuk menggerakkan mereka.

Lalu tuhan boleh dibuang daripada dunia jisim. Tinggal menjadi hanya perumpamaan untuk masa, iaitu hanya sebagai pencipta masa. Ciptaannya sudah menjadi perbuatan yang terpisah daripada aturan ilahi. Apa yang tinggal lagi menurut Descartes dalam karyanya Discourse on Method, ialah untuk manusia memahirkan diri terhadap hukum ini dan seterusnya menjadi “tuan dan pemilik alam”.

  1. Penekanan terhadap pen-jabariyah-an alam

Kaedah saintifik kini juga mengandaikan faham jabariyah, iaitu keadaan awal yang sama akan menatijahkan pertengahan dan penghujung yang sama. Maka, alam ini adalah ditadbir oleh suatu ketentuan alam yang tetap, iaitu pada prinsipnya segalanya adalah mampu dijangka. Serupa dengan gerak-pusing jam gergasi yang diketahui akan tiba ke tempat yang sudah ditakdir.

Inilah sebabnya, model ini menjadi kiasan yang berpengaruh dalam sains, dan apa sahaja yang tidak serupa dengan model ini dianggap tidak saintifik: matanya adalah kamera, jantungnya sebagai pengepam, (seterusnya) otaknya sebagai komputer.

  1. Penekanan terhadap rasionalisme dan empirikisme, dengan seterusnya membuang aspek kualitatif dan pengalaman subjektif daripada takrifan ilmu

Dalam membezakan di antara kualiti primer dengan sekunder, Galileo dikatakan menyediakan tapak bagi empirikisme moden: iaitu realiti adalah terhad kepada apa yang boleh diukur secara kuantitatif, dan hanya melalui sains empirikal mampu dicapai ‘realiti’ tersebut.

Hal ini diteruskan dalam perbincangan falsafah oleh David Hume yang menjadikan antara tiang empirikisme moden, apabila dicatatkan: “Mari kita bertanya, adakah ia mengandungi sebarang bentuk fikir yang niskala berkenaan dengan kuantiti atau nombor? Tidak. Adakah ia mengandungi sebarang penaakulan ujikaji berkenaan dengan fakta dan kewujudan? Tidak. Campakkannya saja ke ia dalam api; kerana ia hanya mengandungi sihir dan khayalan.”

Sepertimana sisi subjektif telah diusaha untuk dihapuskan, semakin bertambah usaha dicurahkan untuk membilang perkara yang kualitatif. Dalam alam Newton, bahan-bahan telah disempitkan kepada jisim yang bertindak melalui hukum jabariyah dan tersendiri. Maka, bunyi telah disempitkan kepada gelombang sinus, pengalaman penglihatan dikecilkan kepada pixel, dan akhirnya perasaan kepada elektrokimia.

Keperilakuan golongan pertengahan kurun ke-dua puluh seperti yang ditayang oleh ujikaji Pavlov yang cuba menjelaskan ‘teknologi perilaku’, yang kini telah menjadi permulaan kepada ubat perubatan psikiatri. Ia menjelaskan tentang perasaan dalam perihal serotonin dan pelbagai ketidakimbangan kimia lain.

  1. Pemisahan dan faham penduaan, bersama penekanan seterusnya terhadap pengecil-sempitan dalam mengkaji alam

Bilamana faham penduaan Cartesian mengizinkan seluruh alam dilihat sebagai semata-mata pengumpulan daripada bahan yang ditanggap secara terpisah-pisah, faham penyempitan berlaku. Menurut kaedah saintifik, ketunggalan adalah khayalan, disebabkan semua bahan adalah semata-mata berasal daripada pilihatur berbeza oleh proton, neutron dan elektron yang sama.

Pada peringkat yang paling asas, rencana saintifik memerlukan dua misal daripada satu unsur untuk menjadi sama. Elektron adalah elektron. Begitu juga dengan proton, neutron, dan segala yang terbina daripada mereka – semua atom, semua jisim. Inilah sebabnya pada peringkat yang lebih luas, biologi telah disempitkan kepada kimia dan unsur kimia yang 92 (dan mungkin bertambah), dan seterusnya dikecilkan lagi kepada zarah subatom mudah, yang mana kemudiannya pada peringkat kuantum akan dikecilkan lagi kepada daya subatom.

Hari ini kita berterusan dimaklumkan bahawa fizikawan sedang menghampiri Teori Medan Bersatu yang akan mengecilkan lagi zarah-zarah ini kepada pelbagai pilihatur daripada sesuatu yang lebih asas dan halus. Ini adalah falsafah mendalam yang telah meresapi pencarian untuk mengecilkan segala apa yang kita tahu kepada beberapa binaan asas. Pencarian yang tiada henti terhadap zarah subatom yang bakal menjadi pelengkap kepada “Theory of Everything” yang masih tergantung.

  1. Pemuncakan ciri-ciri tersebut sebagai menggapai kekuasaan mutlak ke atas alam dan men-tuhan-kan manusia

Dalam erti kata yang muktamad, pencarian pengecil-sempitan ini boleh dikatakan sebagai pencarian untuk kekuasaan yang mutlak-sempurna. Seorang pendokongnya, Michio Kaku berkata, “Dengan menjumpai satu persamaan (equation) sepanjang satu inci sahaja … mampu membenarkan kita untuk membaca fikiran tuhan … Satu-satu teknologi yang cukup maju sudah tiada bezanya dengan kuasa ilahiyah.”

Maka, menurut pendokongnya, ilmu yang sempurna berketentuan dan berpengecilan, menunjukkan bahawa wujud kemungkinan untuk mempunyai kekuasaan yang sempurna, dan suatu kekuasaan yang sempurna adalah bersamaan dengan kekuasaan tuhan. Lalu peranan tuhan kononnya digantikan dengan manusia sendiri.

 

Bagaimana Meta-prinsip ini Mempengaruhi Ekonomi

Sebagai natijah daripada perkara di atas, disiplin intelektual Eropah Barat telah semakin rancak ditakrif melalui pendekatan sekular, bebas-nilai, dan kebendaan. Semakin rasional dan empirikal bentuk ilmu itu, semakin tinggi nilai yang diletak kepada ilmu tersebut.

Maka, kepentingan yang istimewa diberikan kepada fizik Newton, terutamanya disebabkan ia dianggap kaedah yang paling tepat dalam menyatakan peringkat kewujudan dengan cara pengecilan. Akhirnya, Cuma menggunakan beberapa hukum asas gerakan jirim dan zarah, fizik Newton mampu mempersembahkan kenyataan dan perlakuan yang terangkum, oleh berbilang-bilang kejadian alam yang dilihat asalnya tidak terkait dan kacau-bilau.

Begitu juga dengan usaha yang telah dicurahkan untuk menggunakan hukum pengecilan bagi menerangkan berbagai-bagai kerumitan kemasharakatan dalam sains sosial, termasuklah dalam bidang ekonomi.

Sejarawan dalam pemikiran ekonomi seperti Mirowski menegaskan bahawa pemula kepada teori ekonomi neoklasik telah membawa masuk pendekatan mono-utility daripada fizik kurun ke-sembilan belas, dalam cubaannya untuk memperkenalkan “kesatuan alat penyelidikan” antara kesemua disiplin ilmu.

Beliau bertegas bahawa “Teori ekonomi neoklasik hanyalah merupakan celupan fizik kurun ke-sembilan belas … Teori neoklasik ini tidaklah ‘ditemui serentak’ disebabkan ianya ‘benar’, akan tetapi asal usulnya dihadirkan pada waktu revolusi fizik yang rancak. Ditambah pula dengan mereka yang terlatih secara saintifik dalam Negara Barat yang berbeza pada waktu itu yang mendapat capaian kepada ilmu dan kemahiran yang sama.”

Kemudiannya, para penulis, antaranya Olson turut menukilkan kekaguman terhadap fizik Newton dan usaha-usaha bersamanya yang menuntut kepada pembentukan sains sosial, lalu terus menerus mengecilkan bidang-bidang ilmu ini kepada fizik dan matematik.

Tujuan asal pengasas ekonomi neoklasik moden ini, seperti Walras dalam Elements of Pure Economics, di mana beliau mendakwa bahawa “Teori ekonomi yang tulen ialah suatu sains yang paling menyerupai fizik dan matematik dalam segala sudut,” adalah sebenarnya membenarkan pendapat Mirowski.

Tulisan oleh ahli ekonomi neoklasikal yang awal, termasuk Wilhelm Launhardt (1832-1918), Rudolf Auspitz (1837-1906), Richard Lieben (1842-1919), Vilfredo Pareto (1848-1923), dan Irving Fisher (1867-1947), telah berleluasa mewajarkan kiasan-kiasan daripada fizik dan matematik ke dalam teori ilmu ekonomi.

Disebabkan begitu, ekonomi neoklasik dengan kemunculannya telah mula melucutkan dirinya daripada nilai moral yang normatif, yang telah diketengahkan oleh pemikiran Aristotelian dan Judeo-Christian. Mereka menonjolkan dirinya sebagai bidang ilmu yang ‘saintifik’ selepas penerbitan karya Alfred Marshall, Principles of Economics pada 1890.

Dengan penekanan yang berterusan dalam menyamakan ilmu ekonomi dengan bidang ilmu lain yang lebih empirikal dan kuantitatif seperti fizik, konsep utama ekonomi kebiasaan mula menjelma dalam bentuk ‘ke-rasional-an’, memaksimakan utiliti, positivisme, laissez-faire, ekonometriks, dan ‘tangan ghaib’ dalam pasaran ‘bebas’.

Walaupun telah melalui debat yang berterusan, konsep-konsep inilah yang utamanya menyediakan meta-prinsip yang merangka kayu ukur konsep dan struktur pasaran ekonomi hari ini.

Keperluan Terhadap Pendekatan Baharu

Disebabkan tidak meneliti secara seluruhnya – iaitu dengan melihat kepada sisi struktur dan dasarnya, juga dengan tahu membeza antara alat dan tujuan, dll. – dan juga disebabkan telah menggunapakai kaedah mengecil-sempit, saintifik dsb., Ekonomi Islam dan Kewangan Islam telah tersalah arah, yang mana telah menatijahkan wawasan yang tempang tentang apa yang dimaksudkan tentang ekonomi dan ilmu ekonomi.

Konsep sempit yang digunapakai Ekonomi Islam kini adalah cuma menumpukan kepada perbankan dan kewangan bebas-riba, dan zakāt sebagai pencukup rasa yang dicampakkan untuk dilihat lebih menyelerakan, telah tergelincir daripada penegasan utama Agama Islām. Ianya berkait dengan tawḥīd, yang memerlukan kesatuan jisim, akal dan jiwa dalam menunaikan ibadah penyerahan diri kepada Allāh.

Ia juga merupakan prinsip yang mentakrifkan tujuan kewujudan insān, yang membuktikan perkenalan dan pengiktirafan ketawḥīdanNya, dan seterusnya membentuk jiwa peribadi diri dan jiwa masharakat dalam pengurusan kelakuan ekonomi yang baik.

Kegawatan ekonomi terkini yang kita saksikan ini telah melibatkan ber-trillion wang untuk menjamin kegagalan institusi tertentu, yang mana dikutip daripada wang rakyat. Institusi perbankan yang merupakan akar kepada kegawatan ini tiada pun dipersalahkan, yang menyebabkan kita sendiri harus sedar akan keperluan untuk ‘memikir semula’ tujuan ekonomi yang sebenar.

Struktur ekonomi pilihan lain yang lebih berakar kemasharakatan, bertujuan dan bermatlamat, yang menyumbang kepada kesedaran alam sekitar dan kebudayaan, yang menyokong persekitaran kewangan yang membuang rasa kebergantungan terhadap hutang, adalah amat diperlukan masa ini.

Oleh itu, usaha ini memerlukan para fuqahāʾ, ilmuwan, ulamāʾ dll. untuk mengajar ‘ādāb’ dan juga ‘fiqh’ muʿāmalah dalam suasana yang lebih bertumpu dan berdaya-usaha, iaitu dengan telitinya menilai teori ekonomi terkini, supaya kita boleh menjadikan nyata dunia yang pencarian penghidupan yang benar demi kebaikan bersama.

Usaha-usaha ini termasuklah yang berakar dalam ke-tempatan-an dan kesatuan kemasharakatan yang disokong oleh para pemikir dan pejuang masharakat, seperti mereka- bentuk permaculture, matawang tempatan, ekonomi hadiah, aturan wang berfaedah-negatif, amanah tanah masharakat, aturan dinar emas dan dirham perak, tanam-tanaman sokongan masharakat tempatan, pelaburan crowdfunding, dan pasaran terbuka masharakat dll.

Semua ini merupakan usaha pelengkap yang mencabar sifat institusi perbankan yang bersandar-faedah kini, berbeza dengan apa yang dilakukan Kewangan dan Ekonomi Islam yang menjurus kepada membiasakan apa yang telah terbukti salah dan rosak.

 

Amru Khalid S.

11:32pm – 26 Oktober 2016 – Cheras Jaya

[1] Hodgson membezakan antara ‘technicalization’ iaitu suatu proses kemengiraan (lalu menghasil daya-membaharu), dengan ‘industrialization’ iaitu merupakan satu aspek kecil daripada teknikalisasi.

[2] Kaedah Saintifik mengandaikan bahawa wujud alam yang “di luar sana”, iaitu walaupun tanpa wujud diri yang subjektif, alam tetap akan wujud.

Leave a comment