Refleksi Terhadap Ekonomi dan Ekologi

 

Pendahuluan

Pelajaran ekonomi masakini adalah bermasalah. Fokus sentral dalam mempelajari ekonomi cuma tinggal untuk menjadikan seseorang itu sebagai pekerja, yang taat dan tunduk kepada para majikan dan para kapitalis. Justeru itu, harus kita teliti sistem pendidikan kini yang boleh diragukan apakah kenal erti ‘mendidik’ itu dengan benar, yang kononnya mahu menerapkan ilmu namun hanya tinggal mengajar cara bagaimana cara bekerja sebagai persediaan memenuhi kehendak dunia pekerjaan. Takrifan ‘ilmu’ sahaja mereka tak mahu teliti, apatah lagi hendak mengajarkannya kepada orang lain.

 

Kini, andaian ekonomi yang diterima secara meluas di seluruh dunia sangat diagung-agungkan, sebagai contoh ‘maximize profit’, ‘minimize cost’, maximize utility/satisfaction’ dan lain-lain. Bukanlah kita menafikan atau menolak sepenuhnya andaian ini kerana ia adalah diakui berasas. Akan tetapi terdapat beberapa sisi yang diabaikan, seperti sisi spiritual, yang akhirnya menyebabkan fikiran kita terarah kepada satu matlamat yang kacau.

 

Faham Ekologi sebagai Pra-syarat kepada Pelajaran Ekonomi

Istilah sumber atau ‘resources’ pastilah satu istilah yang sentiasa diratibkan sehari-hari oleh para pelajar ekonomi, menandakan signifikannya istilah tersebut pada mereka. Tidak dapat tidak, sumber yang paling besar pecahannya daripada sumber-sumber yang dimaksudkan tadi pastilah sumber alam semulajadi. Malangnya, sumber-sumber ini sering diambil mudah dan tidak diberi perhatian yang sepatutnya.

 

Tidaklah pula saya maksudkan kesemua pelajar ekonomi harus mendalami disiplin ilmu ekologi sehingga dapat mengingati dengan terperinci setiap sistem-sistem dan teori dalam ekologi. Akan tetapi paling tidak mereka diberi pendedahan dan dicucuk kesedaran untuk tidak semata-mata memandang untuk menyusun dan merangka teori semata-mata, tanpa punyai basis dan matlamat yang murni.

 

Andaian-andaian yang diletakkan pun semata-mata membina teori yang akhirnya dilihat gah dan sempurna, seakan-akan mampu menyelesaikan masalah ekonomi masyarakat seluruhnya. Sedangkan perkiraan yang amat mustahak seperti mengambil kira faktor sumber semulajadi ditolak tepi begitu sahaja. Itu belum dikira lagi apakah matlamat akhir segala pembelajaran ekonomi itu sendiri.

 

E.F Schumacher dalam bukunya ‘Small is Beautiful’ mengusulkan supaya setidaknya pelajar ekonomi harus memahami konsep ‘meta-ekonomi’ iaitu disiplin-disiplin ilmu lain yang secara esensinya bersekali dan tidak patut dipisahkan dengan disiplin ekonomi, terutamanya ekologi. Kesedaran metafizik atau dalaman mesti dipupuk ke dalam jiwa supaya kenal benar dengan tindakan yang dilakukan sehari-hari.

 

Dengan itu, kita benar-benar memerlukan pemerkasaan sistem pendidikan yang mendidik jiwa dengan sebenar bagi menzahirkan adab dan perkenalan tempat duduk dirinya dalam fabrik kewujudan yang terluas. Universiti dan institusi pengajian adalah bertanggungjawab menyediakan medium ini.

 

Perjuangan Alam Sekitar

Dengan perkaitan faktor ekonomi dengan kerosakan alam sekitar adalah merupakan tanda bahawa perjuangan terhadap alam sekitar ini bukan seuatu yang mampu ditangani dengan mudah. Bukan semata-mata dengan melaung dan mencampak slogan-slogan populis semata, seolah-olah kesedaran ramai mampu dicorak cuma dengan kata-kata.

 

Tidaklah pula dinafikan terhadap keikhlasan, mahupun usaha keras dan kesungguhan para aktivis alam sekitar ini dalam memperjuangkan apa yang dipercayainya. Akan tetapi, dapat diragukan sejauh mana kecaknaan mereka terhadap alam sekitar itu apabila culasnya usaha mereka dalam mengenalpasti akar permasalahan sebenar yang mengakibatkan segala kerosakan ini.

 

Tambahan lagi dengan persekitaran rakyat Malaysia yang tidak mengalami atau menyaksikan perubahan iklim secara terus, lebih sukarlah kesedaran ini mahu ditanam. Ulanglah seribu kali slogan ‘mari kitar semula’ pun, andai akar permasalahan tidak benar-benar diteliti, kita hanya menyelesaikan masalah sementara (temporary solutions) sahaja, walhal masalah sebenar terus membarah.

 

Bila dikatakan begini, tidaklah pula kita mendabik mengaku kita sahaja mengetahui yang benar. Tetapi haruslah kita sedar bahawa sasaran musuh kita bukan hanya rakyat keramaian yang tidak mengamalkan kitar semula sahaja, tetapi tangan-tangan berkuasa yang tidak bertanggungjawab itulah yang lebih durjana!

 

Sejarah Alam Sekitar

Usaha mengenalpasti akar permasalahan ini bukanlah baharu dan oleh satu pihak sahaja. Salah satu usaha yang saya tertarik dengan pendekatannya ialah satu bidang pengajian yang dinamakan sejarah alam sekitar (environmental history). Pada pendapat saya, bidang ini harus diperkenalkan dengan lebih meluas terutamanya dalam mengendalikan kesedaran rakyat awam tempatan. (lihat: https://www.eh-resources.org/what-is-environmental-history/ )

 

Bidang ‘environmental history’ ini meneliti semula sejarah kepada timbulnya pelbagai kerosakan masakini, yang sebenarnya tidak pernah wujud sebelumnya. Dengan pernyataan itu tadi sahaja sebenarnya menghairankan sesetengah orang tempatan yang tidak pernah pun tahu bahawa kebanyakan kerosakan alam yang berlaku ini adalah sangat baharu.

 

Ini yang saya maksudkan bahawa disebabkan kurangnya pendedahan atau penyaksian secara terus terhadap perubahan iklim ini, mereka cenderung menyangka bahawa fenomena ini adalah biasa dan tak terelakkan. Padahal, semua ini berlaku adalah bertindak balas daripada sikap tamak dan ‘efisien’ yang digembar-gemburkan oleh masharakat kini yang terpengaruh dengan andaian ekonomi akhir-akhir ini.

 

Kesedaran dan perasaan ini telah menjadi sangat sukar, atau mustahil, untuk diundur kembali akibat terlalu terbiasa dengan persekitaran yang mana kita wujud dan membesar bersamanya.

 

Maka kefahaman sejarah adalah perlu untuk menanamkan kesedaran bahawa keadaan seperti ini bukanlah semestinya begini, bahkan manusia yang hidup tanpa ‘sistem’ sebegini adalah lebih bahagia daripada persekitaran ‘efisien’, pantas, mudah, teknologi, globalisasi, dan sebagainya ini yang kita tertipu dan menganggapnya sesuatu yang sangat baik, semata-mata.

 

Walaupun tidak dinafi pada sisi kebaikannya yang sangat besar, namun tidak patut dilihat seolah-olah tiada keburukan padanya, yang mana kita mungkin lebih bahagia dan selesa tanpanya.

 

Industri yang Membimbangkan

Disebabkan andaian-andaian ekonomi yang dipersetujui ramai, segala yang dibina di atas andaian ini membawa kita ke satu arah yang membimbangkan. Lihat sahaja pertukaran dalam pasaran yang berlaku sekarang, permintaan kita pun dibentuk oleh realiti yang dimanipulasi oleh media, apatah lagi penawaran yang mengarut dan kadangkala tidak masuk akal!

 

Sudahlah produk-produk sebegitu berada di dalam pasaran, ditambah pula pemprosesan setiap produk itu pula yang membahayakan. Tidak perlu pun bercakap jauh seperti industri perlombongan bauksit, industri susu dan makanan harian seperti ayam dan lembu sahaja sudah zalim dan tidak berhati perut!

 

Isu sebegini sudah terlalu biasa dilaungkan, namun kelihatan tiada solusi dek kerana kuasa sang kapitalis yang sangat keras mencengkam, sehingga kita tiada sekali berdaya untuk menongkahnya. Lihatlah betapa sukar keadaan ini untuk diundur kembali, terima sahaja bahawa kita semua sekarang telah tertanggal daripada alam!

 

Tidak cukup dengan itu, industri yang kurang diberi perhatian dalam lingkungan ini ialah industri pelancongan. Manusia dahulu, bahkan sebagai muslim juga digalakkan mengembara, tetapi tidaklah mengembara itu tanpa tujuan, bahkan yang lebih menyedihkan ialah apabila melancong dengan tujuan bergembira (entertainment) semata!

 

Tidaklah mengembara itu dengan bertujuan mengambil pengajaran dan memandang akan tanda-tanda kebesaran Tuhan, yang sentiasa menundukkan hati untuk lebih yakin mengabdikan diri kepadaNya.

 

Akan tetapi, apa yang berlaku sekarang ini ialah perlumbaan menyedut dan mengeringkan sumber minyak dari dalam bumi bagi menghangat kehendak manusia yang ingin bergembira tanpa tujuan. Apalah yang ada dalam fikiran mereka sehingga sanggup mengorek, menggali, menarah bukit serakus-rakusnya bagi mengakumulasi kekayaan yang dianggap tujuannya itu?!

 

Kalau direnungi perkembangan insdustri pelancongan ini, ia adalah amat menggerunkan. Bagaimana sumber yang diketahui bakal habis itu disalurkan ke arah yang demikian, sedangkan dalam masa yang sama sumber adalah amat terhad untuk mengagih makanan dan keperluan dhoruriy kepada mereka di belahan dunia lain yang amat-amat memerlukannya sehingga bertarung nyawa untuk mendapatkannya!

 

Kesimpulan

Refleksi ini tidaklah berkeinginan menjatuh atau merendah siapa-siapa, apatah lagi mengangkat dan mendabik diri ke atas pihak lain, melainkan sebagai satu ajakan renungan semula terhadap kebiasaan hari-hari yang ditempuh dalam kehidupan. Sebermula kita celikkan mata, bagaimana kita mampu pisah-pisahkan sesuatu yang secara alaminya bersatu, kerana semuanya bakal digarap dengan jiwa yang sentiasa terarah kepada kebenaran.

 

Sebab itu pendidikan harus dititikberatkan sifat dan pelaksanaannya, iaitu pada memupuk adab dan perkenalan dirinya. Maka ilmu, hadirnya sebagai penyempurnaan kepada jiwa.

 

Amru Khalid S. – Bilal G 4.5

4:20am – Mac 1, 2016

 

Leave a comment