Sloganisasi – Merosak Keliru Makna demi Undi

Sempena Pilihanraya kampus yang bakal berlangsung tidak lama lagi, saya berasa terpanggil untuk menulis sedikit catatan bagi memperihal keadaan pilihanraya yang biasanya akan dipenuhi dengan pelbagai ragam manusia. Apa yang menarik untuk diperhati ialah gelagat para politikus atau mereka yang berfikiran cenderung kepada politik sebagai tujuan dan matlamat mereka.

Dan sudah sedia dimaklumi bahawa para politikus amat kurang kemungkinannya untuk membaca tulisan ini, namun mungkin ianya lebih ditujukan kepada para pengundi dan rakyat kebanyakan yang akan menjadi penyemak-imbang kepada para politikus ini.

 

Fenomena ‘Menunggang’

Akhir-akhir ini, semakin menjadi-jadi perangai menunggang sesuatu demi kepentingan peribadi atau kelompok yang dia wakili. Kebiasaannya kelakuan sebegini dikaitkan dengan ‘penunggang agama’, yang mana saya agak pasti sudah sekian maklum kepada semua.

Akan tetapi, terdapat lagi beberapa jenis penunggangan yang tidak boleh dilepas pandang. Sebagai contoh, menunggang alam (nature). Dengan menggunakan slogan seperti ingin menerapkan kesedaran alam sekitar dalam warga universiti, mereka meraih undi orang ramai dengan menjanjikan untuk membawa agenda seperti itu. Slogan menyelamatkan alam sekitar seperti ini dilihat semakin masyhur disebut-sebut, tetapi adakah sekadar menyebut-nyebut tanpa sebarang strategi yang benar ingin menyelesaikan masalah tersebut? Adakah politikus ini sebagai orang perseorangannya (individu) merupakan seorang yang sedari awal telah mengamalkan kehidupan yang lestari (sustainable lifestyle)?

Ini dilihat mendukacitakan apabila laungan “selamatkan alam sekitar” ini diangkat menjadi slogan, namun tidak disedari bahawa masalah alam sekitar bukanlah sangat berpunca dari sumber-sumber, akan tetapi akar permasalahan sebenarnya ialah kebiadapan sikap (attitude). Kesedaran alam sekitar mestilah yang utamanya mengubah sikap kita dalam mengguna (consumption), kemudian akan membawa kesan seterusnya kepada ‘supply chain’ yang lain.

Kita juga ada terdengar bahan lawak yang disangkakan jenaka dari orang-orang yang tak bertanggungjawab. Apabila penggunaan straw ingin dikurangkan, mereka sangka dengan menjawab sinis adalah jawapan yang pandai, seperti “kita guna straw, kita buang dalam tong sampah. Bukannya ke dalam laut,” dengan merujuk video penyu yang tersumbat straw dalam hidungnya. Bodoh sekali sikap begini! Kurangnya penggunaan straw bertujuan memberi petanda (signal) kepada kedai dan akhirnya kepada kilang straw untuk hentikan penghasilan (production), kerana penghasilan straw dari bahan plastik itu sendiri sudah bermasalah.

Janganlah ingin menyelesaikan alam sekitar dengan hanya mencadangkan untuk meletakkan tong sampah kitar semula di setiap kuliyah sahaja, walaupun itu perlu, tetapi itu sahaja? Sedangkan tahukah dia bahawa bukan semua bahan plastik boleh dikitar semula pun? Sekarang sudah berlambak inisiatif untuk perjuangkan perkara ini, kajilah lebih sedikit dari sekadar meletakkan dalam manifesto tanpa benar-benar ingin perjuangkan pun, malah dilihat cuma mahu meraih undi.

 

Manifesto sebagai Saluran Mendidik Masyarakat

Yang menjadi perhatian utama di sini ialah kekeliruan dan kerosakan (corruption) makna disebabkan slogan yang dibuat-buat demi meraih undi politik. Ini bukan sahaja memberi kesan kepada ruang perbincangan politik, ia bahkan akan mengelirukan masyarakat dari maksud asal perkataan itu sendiri. Sebagai contoh perkataan “green”, islamisasi, kebajikan (welfare) dan sebagainya. Apakah benar apa yang mereka laungkan itu memberi hak maksud perkataan itu seperti yang sepatutnya? Atau sebenarnya cuma sekadar mahu meraih undi dari orang ramai demi mendapatkan kuasa?

Kita ambil beberapa contoh manifesto, iaitu “spread the awareness on green lifestyle” atau “meluaskan kesedaran tentang kehidupan lestari”, dan “to revive the islamization of knowledge among the students” atau “menghidupkan islamisasi ilmu dalam kalangan warga mahasiswa”. Pertamanya, apakah yang pengundi harus faham dari slogan yang pendek ini? Tentunya ia perlukan penjelasan dan sharahan yang lebih panjang untuk menerangkan isi dan maksud dari kenyataan di atas.

Disebabkan itulah perangkaan manifesto ialah sebuah proses untuk ‘mendidik masyarakat’ akan keutamaan dan kepentingan sesuatu itu diperjuangkan, dan bukan semata-mata gula-gula politik untuk memungut undi dari para pengundi yang menurut membuta tuli. Apabila mereka merangka manifesto dalam keadaan terlalu memikirkan undi, maka yang berlaku adalah proses membodohkan pengundi disebabkan mereka politikus ini memandang rendah terhadap tahap fikir dan upaya para pengundi untuk memiliki ideal dan perjuangan terhadap sesuatu.

Seharusnya, perhatian diberikan untuk mendidik orang ramai supaya faham akan apa yang seharusnya diperjuangkan. Paling tidak, kalau kalah pun kalah bermaruah kerana berusaha mendidik orang dalam proses kempen tersebut. Berbanding menang disebabkan manifesto yang mengarut?!

Biarlah ruang berkempen itu dijadikan medan berlawanan idea dan hujah. Bukannya medan menarik undi semata-mata. Tonjolkan sisi pendidikan dan intelektual dari manifesto itu, demi menyelesaikan masalah dalam universiti. Bukannya sekadar mahu memenuhi jawatan atas alasan kononnya tak mahu pihak yang lebih ‘jahat’  atau ‘teruk’ mengambil alih. Tapi kalau naik jawatan sekadar mahukan star point atau mendengar arahan pihak tertentu, tanpa ada apa-apa idea sendiri untuk menyumbang, apa baiknya?

 

Cadangan perangkaan Manifesto

Dari segala hal di atas, bukanlah mahu dikorek dan diungkit kepimpinan-kepimpinan lepas sahaja. Akan tetapi alangkah baiknya andai politik kampus tidak terikut-ikut dengan politik di luar sana, yang seronok membodohkan rakyat dengan memancing undi, menabur rasuah, beretorik menjanjikan segala yang manis-manis dan sebagainya. Semuanya dilakukan atas dasar mengekalkan atau merebut kuasa.

Apakah manusia-manusia dalam universiti juga akalnya cetek seperti itu? Seawal usia muda sudah tiada idealisme yang bertapak dari dalam diri, menginginkan suatu keindahan dunia yang diimpi? Apakah sebegini rendah mutu (quality) kepemimpinan dan pemimpin pelajar di universiti yang sekadar mahu naik mengekalkan kuasa semata? Idealisme pun sekadar mahu menjaga kebajikan pelajar sahaja, setakat itu sahajakah? Ke mana pergi kekuatan intelektual dan semangat yang membuak ingin membantu masyarakat dengan segala daya yang ada?

Maka di universitilah tempatnya manusia yang kuat-kuat dikumpul, disudutkan, dipisahkan (uzlah) sementara dari dunia bagi mengasah dan melatih diri sebagai disediakan untuk melakukan sesuatu yang benar-benar memberi kesan yang sempurna. Pilihanraya dalam kampus tidak seharusnya mencontohi pilihanraya di luar sana, tidak kira dari parti mana pun. Sekurang-kurangnya manifesto yang dihasilkan terpamer kecerdikan dan kebijaksanaan perancangan mereka demi melakukan sesuatu yang menggunakan akal fikiran. Bukannya menggunakan kepala lutut!

Sebuah manifesto yang baik setidak-tidaknya mampu memenuhi 4 kriteria yang berikut:

  1. Boleh dicapai (achievable)
  2. Boleh diukur (measurable)
  3. Boleh dipertanggungjawabkan (held accountable)
  4. Bukan dari tanggungjawab seorang wakil pelajar

Kebiasaannya, kita boleh lihat akan ada calon yang manifesto mereka yang tidak pun memenuhi 3 kriteria di atas. Sebagai contoh, “untuk merapatkan hubungan antara pensyarah dan pelajar”. Bagaimanakah mekanismenya, bagaimana mahu ukur, dsb? Selain itu, “menjaga kebajikan pelajar dan memastikan keselesaan di fakulti/kulliyyah tertentu”. Bukankah sememangnya tugas dia untuk menjaga kebajikan pelajar?

Satu lagi masalah yang boleh dilihat ialah, adakalanya manifesto yang disusun itu adalah bukan datang dari kekuatannya sendiri. Jika kekuatannya sebagai orang perseorangan adalah meminati perniagaan, lakukanlah perkara itu sehingga tercapai sesuatu pembaharuan yang dia mahu. Akan tetapi, wujud sebuah jentera di belakangnya yang akan tentukan dan rangkakan manifesto yang sesuai supaya berjaya meraih undi pelajar. Begitulah yang terjadi sebaliknya, apabila dia tidak pernah mengetahui tentang pentingnya perjuangkan alam sekitar, maka apa yang berlaku ialah sebuah tunggangan. Perjuangkan ‘islamisasi’ ilmu, tetapi makna islamisasi yang sebenar pun terkial-kial untuk jelaskan.  Apatah lagi pelaksanaannya nanti?!

Semoga tidak berulang lagi adegan seperti ini. Selamat maju jaya bagi yang bertanding.

 

“Aku menuntut jawatan (khalifah) bukan kerana cinta dunia (kuasa),

Tapi untuk menunjuk cuma bagaimana ia harus diguna.” – Imam Ali bin Abi Talib

 

Amru Khalid – 8 Oktober 2017

Bilal C1.8

Leave a comment