Makna Kehidupan

Kalau kebiasaan orang yang menganalisis satu-satu perkara akan terus memandang kepada keseluruhan tema yang diangkat untuk dijadikan kajian, saya suka untuk cuba memandang dari sudut yang lebih detail, yang mana dengan sengaja atau tidak sengaja perkara itu diwujudkan. Sebagai contoh filem Inside Out (2015) yang memaparkan tema utama yang mengenengahkan kawalan emosi yang kompleks dan pelbagai dalam diri manusia, tetapi apa yang lebih suka untuk saya pandang adalah bagaimana gambaran keseluruhan struktur fikiran manusia dalam filem tersebut, terutamanya gambaran penyimpanan memori yang berbentuk sfera kaca, dan disimpan di atas rak-rak yang diasingkan dengan ‘core memories’, ‘long-term memories’ dan memori-memori lain.

“Akhirnya, ia berbalik kepada bagaimana kita memaknakan segala sesuatu.”

PULAU KEKUATAN

Dalam filem Inside Out, kebolehan atau kemahiran dalam satu-satu perkara digambarkan oleh pembentukan sebuah pulau yang mana akan menentukan personaliti manusia itu. Saya pasti dalam realiti sebenar, jika ingin dijadikan pulau-pulau begitu maka beratus-ratus pulau pun belum cukup. Akan tetapi, for the sake of simplicity, ia hanya menggambarkan empat atau lima pulau sahaja.

Yang menjadikan saya lebih tertarik ialah boleh jadi juga sebenarnya pulau-pulau tersebut adalah kekuatan seseorang yang paling dasar dalam dirinya. Contoh pulau yang digambarkan ialah pulau hoki. Jadi, untuk diri Riley (watak utama) kekuatan yang paling dasar adalah pada hoki dan pastinya kekuatan itu yang paling tepat dan layak pada diri dia, dan dia berperanan – dalam hidupnya – menjadikan sesuatu melalui kekuatan-kekuatan itu.

Maka seperti juga dalam diri setiap orang, pasti akan ada satu (atau beberapa) pulau kekuatan yang paling layak dan tepat dalam dirinya juga. Cuma yang tinggal ialah pengenalpastian pulau-pulau tersebut oleh dirinya dan kesedaran akan wujud atau tidak pulau-pulau itu.

Yang saya maksudkan daripada perenggan awal di atas ialah, jika kemahiran Riley hanya seperti yang digambarkan dalam filem sahaja, iaitu mampu bermain hoki, belajar hoki sejak kecil, dilahirkan dalam suasana keluarga yang gemar bermain hoki, dan sebagainya itu sahaja yang menjadikannya sebuah pulau, adalah belum memadai. Seseorang itu boleh jadi mempunyai sembilan atau sepuluh atau lebih dengan kemahiran seperti itu.

Tetapi saya cuba gambarkan bahawa di sana sememangnya wujud satu (atau lebih) pulau kekuatan itu sejak azali, – yang paling cocok dengan jiwa dan tepat dan layak dengan jiwanya – yang mana boleh jadi kita lambat sedari – mungkin selepas umur 25 tahun baru berjaya dikenalpasti – juga boleh jadi dikaburi oleh kemahiran-kemahiran lain yang disangkakan itulah pulaunya, atau belum tiba masanya untuk menyedari pulau kekuatan itu, atau kemungkinan-kemungkinan lain.

Maka sebenarnya seseorang itu harus benar-benar mengenali diri untuk mengenalpasti pulau-pulau itu supaya dengan pengenalpastian terhadap pulau itu yang membentuk personaliti sebenar yang paling tepat dan layak bagi dirinya.

PERKIRAAN YANG MESTI DIAMBIL KIRA

Perkara ini aku (tukar mode-aku) renung ketika sedang mengorek dan membelek semula buku-buku dan nota lama ketika zaman persekolahan dahulu. Apa yang dijumpai adalah amat mengagumkan dan mengejutkan, walaupun semuanya adalah hasil kerja diri sendiri.

Bukan berniat untuk mengangkat diri, bahkan merendahkan. Apa yang aku lihat ialah terlalu banyak nota-nota yang aku salin dan catit dalam pelajaran itu, ada juga bekas-bekas tulisan – yang seingat aku – adalah ketika proses hafalan pelajaran itu. Ada juga yang aku teringat nota-nota ini ditulis ketika saya berhadapan dengan ilmuwan yang hebat, tulisan yang ditulis ketika berseorangan menginspirasi diri, ditulis untuk orang lain, ada juga lukisan-lukisan yang mempersoalkan diri dan sebagainya.

Ringkasnya, proses aku dalam pembelajaran dahulu sebenarnya sudah terlebih hebat dan bersusah payah. Satu-persatu memori tentang perit dan payahnya aku dahulu ketika mahu mendapatkan satu-satu perkara yang diminati. Konsistensi dan disiplin yang tidak berbelah bahagi.

Yang lebih mengagumkan adalah semua perkara yang aku lakukan itu dilakukan bukan untuk orang lain, bahkan semuanya dilakukan kerana seronoknya dan terujanya apabila ia dilakukan. Aku berterusan melakukannya bukan kerana orang lain mahukannya, tetapi aku lakukannya kerana itulah diri aku. Aku menulis, mencatit, melukis – atau yang lebih tepat – aku berterusan melakukan apa yang saya lakukan itu adalah kerana ia adalah diri aku!

Kemudian, aku merenung kembali memikirkan bahawa tidak sangka sebanyak ini yang telah aku pelajari dan lakukan sepanjang hidup ini.

PEMAKNAAN

Apa yang menjadi kesedihan saya (tukar mode balik-saya) akhirnya ialah apabila difikirkan betapa sedikit sahaja perkara yang aku lakukan dan kesungguhan yang aku curahkan terhadap segala yang diusahakan dahulu yang masih berbekas, apalagi yang maseh aku ingat.

Seperti juga dalam filem tadi, digambarkan bahawa memori-memori seseorang itu bakal disedut keluar untuk dilupakan atas sebab-sebab yang dipersetujui oleh (saya gelar) pengurus memori itu. Maka memori yang tidak bermakna lagi pada diri seseorang itu akan dihapuskan. Dalam masa yang sama, memori-memori yang tidaklah begitu bermakna pun, boleh didatangkan kembali apabila – digambarkan dengan – pengurus memori itu sesuka hati hantarkannya ke pejabat utama memori untuk dimainkan (diingat) kembali, tanpa diminta. (https://www.youtube.com/watch?v=ept0xo_wnnk)

“Akhirnya, ia berbalik kepada bagaimana kita memaknakan segala sesuatu.”

Oleh itu, sebenarnya apa yang berlaku disekeliling kita akan tetap berlaku, tetapi bagaimana kita memaknakannya? Berapa seriuskah kita menanggapi peristiwa itu untuk dijadikan pengajaran atau teladan? Siginifikankah perkara itu kepada diri kita? Seorang sahabat berkongsi formula mudah dalam hidup. E + R = O ;

Event (neutral) + Response (subjective) = Output

Maksudnya peristiwa yang berlaku, akan tetap berlaku dan ianya adalah neutral. Akan tetapi apa yang terhasil pada outputnya adalah bergantung kepada respons kita dalam menanggapi peristiwa tersebut samada positif atau negatif, atau lain-lain. Jelas sekali, peranan penanggapan seseorang terhadap segala sesuatu itulah yang memaknakan sesebuah perkara itu menjadi baik atau tidak baik, berdasarkan apa yang dia percaya.

PELUANG

Perjalanan kehidupan setiap manusia pasti berbeza-beza. Tidakkan pernah sama kerana walaupun peristiwa yang dilalui adalah sama, namun perspektif yang berbeza, pengalaman yang berbeza, personaliti yang berbeza, dan juga perkiraan-perkiraan lain yang berbeza menyebabkan terhasilnya respon yang berbeza, lalu output akhirnya juga akan berbeza.

‘Peluang’ dalam kehidupan tidak diberikan secara sama kepada semua. “Life is not fair”. Tetapi setiap orang pasti disediakan peluang mengikut kesesuaian dan kelayakan atau ketepatan untuk dirinya. Maka perjalanan hidup setiap orang pasti boleh menghasilkan sesuatu mengikut kesesuaian dirinya untuk berperanan di tempatnya.

Yang ingin ditegaskan ialah walaubagaimana permulaan atau orientasi hidup seseorang itupun, atau ‘historical construct’ yang membentuk dirinya sejak kecil itu, pastinya mampu mendatangkan manfaat pada dirinya, dengan syarat dirinya sendiri yang harus memaknakan segala yang dilalui itu.

Andailah seseorang itu tidak pandai membaca sekalipun, tidak pernah bersekolah, hanya hariannya sejak kecil membantu ibubapa ke kebun menguruskan tanaman, kemudian pulang melalui jalan semak melewati kawasan haiwan yang berbahaya, kemudian petangnya termangu di tepian pantai, berlari seperti tiada tujuan, malamnya pula hanya sekadar mengelih bintang bagai menantikan anak bintang melintasi, tidurnya pula diganggu nyamuk dan semut-semut.

Akhirnya bila dia sudah besar dan tiba masanya untuk membuat keputusan, segala kejadian selama hidupnya itu mestilah disertakan dalam perkiraan. 20 tahun sekurang-kurangnya itu bukanlah sekejap, bahkan terlalu lama untuk dilalui sebagai memperoleh terlalu banyak perkara yang boleh dipelajari. Tinggal sahaja bagaimana segala itu dimaknakan dalam hidupnya, kemudian bagaimana makna itu dimanifestasi dalam membentuk tindakannya.

Justeru, sepatutnya tiada apa yang mampu menjadikan diri lemah, selagi cara menanggapi dan memaknai segala yang dilalui dalam kehidupan itu diambil kira.

KESIMPULAN

Mengapa mengenal diri itu sesuatu yang penting? Ia bertujuan supaya akhirnya dalam kehidupan ini kita dapat benar-benar yakin dengan diri dalam berperanan seperti yang sepatutnya. Setiap diri itu – aku percaya – ada peranannya di tempatnya masing-masing.

Selain itu, harmoni akan diwujudkan dengan akurnya kita terhadap peranan orang lain yang berbeza degan apa yang kita yakin. Supaya kita tidak mudah menyalahkan orang lain kerana tidak melakukan apa yang kita lakukan. Tetapi sama sekali bukan bermaksud kita tidak boleh mengkritik pegangan orang lain. ‘Kritik’ – supaya semak semula pegangan dia – adalah tidak salah. Yang salah ialah apabila kita menyalahkan tindakan orang lain, dan juga menganggap orang yang (sebenarnya) mengkiritik kita, sebagai menyalahkan.

“Barangsiapa yang mengenal dirinya, maka dia kenal Tuhannya.”

——————————————————————–

Amru Khalid S.

26/8/2015 – Masih mencari ‘pulau kekuatan’.

Leave a comment