Dilema Alam Amali

Beberapa pengajaran dan dapatan yang saya mahu ketengahkan daripada penterjemahan ‘Kitab al-Kasb’ daripada Rubu’ Adat, Ihya’ Ulumuddin – karangan Hujjatul Islam al-Imam al-Ghazali (rahimahullah) –  ialah pada dilema kita untuk terjun ke alam amali (praktikal).

 

Pengenalan —–

Ramai di antara kita yang senang untuk menyendiri dan mengasingkan diri daripada masharakat dengan pelbagai sebab yang ditampilkan. Antaranya kerana tidak mahu dihabiskan tenaga dan masa terhadap perkara yang sia-sia atau remeh seperti menangani kemengarutan perangai masharakat.

Sesetengah daripada kita sudahpun berpendapat bahawa masharakat ini sudah tidak mampu lagi dibaiki kerosakan mereka, lalu dibiarkan sahaja hanyut dengan kerosakan itu. Yang lebih penting ialah selamatkan diri sendiri daripada turut hanyut.

Jujurnya, saya sendiri pun kadangkala merasai seolah-olah sudah tawar hati untuk terus melakukan sesuatu kepada masharakat yang dilihat sudah jauh dan rosak bersama mentaliti rendahnya, sikap biadapnya, buruk perkataannya. Sekalipun yang terpelajar tiada bezanya, dengan perangai menyebarkan kebencian dan terus-menerus merendahkan orang lain selain daripada aliran pemikirannya sahaja.

Sedangkan tiada mencontohi sikap para ilmuwan yang sentiasa merendah diri meskipun kebenaran yang diungkapkan diiktiraf dan diakui oleh kebanyakan ilmuwan lain di sekelilingnya. Apa perlu sekelumit pun meninggi diri andai kita tahu bahawa tiada ilmu melainkan setiapnya merupakan anugerah dan tanggung-jawab daripada Allah?

 

Pengalaman —–

Disebabkan pengalaman dalam bermasharakat seperti inilah yang menjerumuskan sesetengah golongan untuk mengasingkan diri daripada masharakat dan hanya menumpukan diri mereka untuk hanya hidup memenuhi kehendak sendiri semata-mata, tanpa menghirau keadaan masharakat yang terhampir.

Terdapat banyak cara yang mereka pilih untuk menyendiri. Ada yang memutuskan hanya untuk menjadi pensharah, menyambung PhD, mendapat gelaran doktor, kemudian professor dan seterusnya. Malangnya semuanya dilakukan hanya bertujuan menjaga periuk nasi sendiri. Alangkah malangnya! Kertas kerja penyelidikan mereka yang dibiaya oleh masharakat tidak pernah dikembalikan untuk bermanfaat semula kepada masharakat.

Namun, tidak kurang juga ada yang gopoh dan terlebih yakin dengan kebolehan dan kemampuan sendiri sehingga menampilkan diri kepada mata masharakat sebagai pembawa kebenaran, walhal semuanya palsu. Apabila ditegur akan mudah melenting dan berkeras mempertahan diri kerana risaukan populariti dan kebenarannya tidak dipercayai lagi. Mereka terpedaya dengan kebenaran separa-masak yang disangka berada dalam tangannya.

Begitulah keadaannya apabila menyertai masharakat. Tipu daya dan kebenaran bersilih tempat, terawang-awang dan sentiasa bergerak berubah kedudukan, sehingga menjadi amat sukar untuk dikenalpasti. Ini belum lagi bercerita daripada alam politik!

 

Alam Ekonomi —–

Sepertimana keadaannya dalam alam akademik, iaitu untuk menghidangkannya kepada masharakat adalah suatu perkara yang tidak mudah, begitulah juga cabarannya dalam alam ekonomi (pembahagian alam/ ‘realm’ dibuat secara rambang tetapi diharap maksudnya difahami).

Perniagaan dan keusahawanan mudah di-teori-kan dalam buku-buku serta jurnal akademik oleh para ilmuwan ekonomi. Namun apakah benar-benar teori itu mampu memberi kesan apa-apa kepada pemain ekonomi amali?

Benar, diakui juga teori mampu mempengaruhi cara fikir sesetengahnya. Contohnya seperti takrifan karut yang biasa iaitu ekonomi ‘scarcity’ yang menyatakan kemahuan manusia yang tidak terhad dan sumber yang terhad. Ini menggalakkan secara tidak langsung akan pengeksploitasian dan persaingan jatuh-menjatuhkan dalam alam amali ekonomi.

 

Islah Sebagai Solusi —–

Menurut Dr Adi Setia, Islah itu berlaku dalam minda dahulu dengan kefahaman dan rangka-fikir yang diterapkan, iaitu dengan tujuan dan kedudukan yang betul. Kemudian, yang keduanya dengan amali yang dilakukan dengan perbuatan yang sebenar, menurut rangka-fikir yang betul.

Masalahnya ialah ‘pen-teori-an’ ekonomi oleh para ilmuwan ekonomi ini seolah-olah mahu men-teori-kan kesemua kelakuan pemain ekonomi, semata-mata mampu menyebutkan kelakuan tersebut. Lalu kebanyakannya hanya bertindak membentuk polisi yang dirasakan mampu mempengaruhi kelakuan masharakat (keadaannya ‘top-down’, bukannya ‘bottom-up’).

Sedangkan tiada didatangkan solusi yang bertujuan Islah, iaitu caranya dengan membuktikan pengamalannya dalam perbuatan yang sebenar dalam alam amali (praktikal).

Maka, inilah dilema para ilmuwan ekonomi untuk melakukannya, kerana mungkin berasa sangsi dengan sistem sedia ada ini untuk memungkinkan kepada pengamalan yang murni seperti yang diimpikan. Atau adakah punya jalan untuk mengubah sistem ini?

 

Cabaran Pemain Ekonomi Amali —–

Oleh yang demikian, hayatilah kata-kata al-Ghazali dalam tulisannya Ihya’ Ulumuddin;

“Untuk menempuh jalan kebenaran dengan keadaan [etika] sebegini dalam perniagaan adalah lebih sukar daripada bertungkus lumus dalam [melaksanakan] segala ibadah sunat (nawāfil al-‘ibādāt) dan beruzlah diri daripada mereka ini. Kerana itulah, sesetengah ‘Ulamā’ berkata: “Saudagar yang jujur adalah lebih baik di sisi Allāh Ta‘ālā dari seorang yang rajin beribadah”.”

“Perkara ini adalah sesuatu yang sukar bagi kebanyakan orang, dan oleh sebab itu mereka memilih jalan berkecuali dan menyendiri untuk lebih tekun beribadah dan mengasingkan diri daripada orang ramai. Kerana menegakkan hak-hak Allāh, dalam masa yang sama bermasharakat dan menyertakan diri [kepada orang ramai] adalah usaha [perjuangan diri] yang tidak mampu dilakukan, melainkan oleh orang-orang jujur (al-ṣīddīqūn).

“Dan tidak akan terlepas seseorang itu [daripada dosa mengurangkan ini] kecuali dengan melebihkan [sedikit] pada memberi dan mengurangkan [sedikit] apabila mengambil. Kerana keadilan yang sebenar itu sukar diterjemah ke dalam kenyataan, dan ianya zahir dengan menzahirkan kelebihan atau kekurangan [seperti yang disebutkan tadi]. Maka, orang yang meminta untuk mencukupkan haknya sesempurna mungkin, dikhuatiri bakal melampauinya.

“Dan sesungguhnya, larangan terhadap mengurangi timbangan itu bukan disebabkan [semata-mata] perbuatan menimbang itu [sendiri], akan tetapi ia adalah berkait terus dengan pengabaiannya kepada keadilan (tarku al-‘adl) dan kesamarataan (al-nuṣfah) dalam perbuatan menimbang. Dan peraturan ini terpakai dalam semua keadaan dan amalan. Para penimbang adalah dalam bahaya kebinasaan, dan setiap mukallaf itu adalah pemilik timbangannya masing-masing, pada perbuatan, perkataan dan pemikiran.

Oleh itu, celaka bagi mereka yang menyimpang dari keadilan atau berkecenderungan selain daripada istiqāmah. Kalaulah tidak [urusan istiqāmah] ini sukar dan mustahil untuk digapai, maka tidak diturunkan ayat ini: “Dan tiada seorangpun di antara kamu melainkan akan sampai kepadanya; [yang demikian itu] adalah sudah menjadi ketetapan daripada Tuhanmu.””

 

Penutup —–

“Maka marilah kita memohon kepada Allāh Ta‘ālā, supaya mendekatkan kita kepada istiqāmah dan keadilan. Kerana sesungguhnya kesukaran untuk teguh berdiri di atas Jalan yang Lurus (al-ṣirāṭ al-mustaqīm), tanpa condong [walau sedikit] padanya adalah sesuatu yang bukan untuk diharapkan. Kerana titian itu, adalah lebih halus daripada sehelai rambut dan lebih tajam daripada sebilah pedang. Kalau bukan kerana pertolongan Allāh, nescaya orang yang benar pun tidak akan sanggup melalui jalan yang melintang di atas mulut api neraka, yang sifat titi itu lebih halus daripada sehelai rambut dan lebih tajam daripada sebilah pedang. Dan menurut kadar istiqāmah pada jalan kebenaran, pantaslah hamba itu pada hari kiamat menyeberang atas titian itu.”

Kesimpulannya, saya sendiri pun tiada jawapan yang jelas dan tetap untuk mengatakan bagaimana Islah itu dapat dijalankan kerana persoalan ini hanya terumpil ketika sedang berazam meneroka alam baharu (?). Yang pasti, cabaran masa kini adalah tersangat dahsyat untuk dihadapi dengan sambilewa. Pekatkanlah warna diri dengan berhati-hati dengan melakar dahulu sempadan warna, supaya tidak terwarna di bahagian luar lukisan lalu memburukkan hasil seni seorang seniman.

Wallahu a’lam.

—–

Amru Khalid S.

3:05AM, 25 Julai 2016

Rumahku syurgaku.

 

Leave a comment