Tamak

Setelah menelusuri beberapa pembacaan tentang idea idea daripada tokoh barat dalam menyusun idea ekonomi seperti yang sedia ada sekarang, kelihatan mereka begitu percaya dengan daya tolak dan dorongan ke hadapan adalah dengan sifat tamak dan pentingkan diri sendiri. Falsafah yang tertanam dan diulang sebut ini menjadikan konsep tamak sebagai sesuatu yang diterima umum. Sedangkan perkataan ‘tamak’ dan ‘pentingkan diri sendiri’ itu sendiri mempunyai konotasi negatif ke atasnya.

Falsafah Ekonomi Klasik

Seperti yang disusun oleh Adam Smith dalam ‘magnum opus’-nya yang terkenal iaitu Inquiry into the Nature and Causes of the Wealth of Nations, beliau memperkenalkan konsep tangan ghaib, yang menjustifikasi fenomena satu-satu tindakan manusia di dalam pasaran yang mengejar keuntungan diri sendiri, akan sendirinya beri manfaat kepada masyarakat. Seperti yang dikatakan oleh Robert L Heilbroner dalam karyanya The Worldly Philosophers[1], konsep tangan ghaib yang diperkenalkan Adam Smith itu hanya berfungsi dengan sebenar ketika zaman beliau hidup, yang mana dunia ketika itu boleh digelar sebagai ‘dunia persaingan atomistik’ (atomistic competition). Namun tidak lagi berfungsi dengan sempurna ketikamana bentuk pasaran sudah berubah. Persaingan dalam pasaran masa kini sudah boleh dimanipulasi oleh ejen ejen mekanisme produktif yang mengganggu tekanan dalam persaingan, tidak lagi hanya ‘perfect competition’ seperti pada zaman Smith.

Falsafah ekonomi klasik yang disusun oleh Smith ini, secara mudahnya, ingin mengatakan bahawa ketamakan seseorang penjual itu adalah baik, kerana ia bakal memanfaatkan masyarakat keseluruhannya.

“It is not from the benevolence of the butcher, the brewer or the baker that we expect our dinner, but from their regard to their self-interest.”[2]

Cara pandang yang beliau usulkan ini telah diserap oleh kebanyakan penyusun teori ekonomi selepasnya, yang mempercayai bahawa dengan ketamakan dan pentingkan diri akan membawa kepada kebaikan dan mencetus inovasi dalam kalangan ‘entrepreneur’ atau usahawan.

Sifat tamak dijunjung

Tanpa menafikan sumbangan Adam Smith kepada dunia, tulisannya sangat berpengaruh dan sangat penting kepada dunia. Namun, tidak terhenti sekadar di situ. Falsafah tamak dan pentingkan diri ini dipegang zaman berzaman oleh ahli ekonomi, termasuk oleh pemenang Anugerah Nobel 1976 dalam bidang sains ekonomi, Milton Friedman. Beliau merupakan pengasas kepada aliran ekonomi ‘monetarist’ yang menekankan fungsi kerajaan hanya kepada mengawal jumlah duit dalam aliran. Dalam satu wawancara, beliau berkata;

“If government played a role on this, only by keeping the road clear, for human greed and self-interest to promote the welfare of the consumer.”[3]

Walaupun kelihatan baik dan membantu masyarakat, tetapi realiti yang berlaku adalah sebaliknya. Mengutip kata kata dakwaan daripada dokumentari The Yes Men Fix The World, walaupun digunakan perkataan ‘kebebasan’ (freedom) sebanyak 374 kali di dalam tulisannya Capitalism and Freedom[4], tetapi kebebasan yang dimaksudkan bukanlah kebebasan daripada belenggu keterikatan atau kebebasan lain. Akan tetapi ‘kebebasan’ yang dimaksudkan ialah kebebasan sesebuah korporasi untuk mengaut keuntungan, tanpa menghiraukan risiko kepada rakyat lain, juga tanpa sekatan daripada kerajaan.

Dalam dokumentari itu, wawancara diadakan bersama pembawa idea (penyokong) Friedman tentang isu kecelakaan dan kemalangan di Bhopal, 1984, yang melibatkan nyawa ribuan manusia. Kira-kira lapan ribu penduduk mati dalam tempoh dua minggu, akibat terdedah kepada kimia berbahaya, dan dikira sebagai ‘the worlds worst industrial disaster’ oleh BBC.[5] Jawapan yang diberikan adalah sangat mengecewakan, seolah-olah telah hilang perikemanusiaan. Ada yang menganggap kemalangan dan malapetaka seperti ini sebagai satu keuntungan oleh pihak kerana meningkatkan kerja-kerja dan pergerakan ekonomi. Ia diakhiri pula dengan kata kata bahawa risiko sebegitu mesti dihadapi dan merupakan lumrah bagi menuju masa hadapan. Dunia beginikah yang kita harapkan ?

Falsafah Islam

Meneliti falsafah barat yang berpegang kepada falsafah individualisme, dan fokus ekonomi yang tertumpu kepada kepuasan (utility-centered), mereka percaya bahawa daya tolak kepada kemajuan dan kebaikan kepada masyarakat, adalah pada ketamakan (greed) dan persaingan bagi mendapatkan kepentingan masing masing. Tetapi apakah benar secara fitrahnya, tamak itu mendatangkan kekuatan kepada manusia untuk menghadirkan kebaikan kepada manusia ?

Jika memandang kepada peradaban Islam, tokoh tokoh ilmuwan muslim yang telah menghasilkan pelbagai teori dan memberi sumbangan yang amat signifikan dalam hampir kesemua bidang ilmu itu, apakah tamak yang memandu mereka melakukan sedemikian ? Apakah kerana mereka mengejar kepentingan peribadi yang menjadi daya lonjakan kepada pencapaian mereka ? Apakah falsafah yang jijik, yang mengabaikan sisi kemanusiaan itu yang mereka berpegang kepadanya ?

Sudah tentu tidak. Adapun apabila kita sendiri meneliti hasil karya mereka, tokoh ilmuwan ini sentiasa meletakkan penghargaan dan pergantungan, serta puji pujian kepada Allah, Tuhan yang memberi pinjam sementara sahaja, segala kelebihan yang dikurniakan kepada mereka. Maka kalau bukan kerana kejarkan kesenangan sendiri, falsafah apakah yang mendasari tindakan mereka ?

Sisi Pandang Lain

Tidak adil kiranya tanpa dijelaskan kembali maksud Adam Smith berkenaan pentingkan diri (self-interest) yang dimaksudkan. Ramai yang merujuk Smith hanya pada bukunya The Wealth of Nations, tetapi mengenepikan karya pentingnya iaitu ‘The Theory of Moral Sentiments’. Dalam karyanya ini, beliau membahaskan banyak berkaitan dengan moral, yang mana disebut sebagai ‘impartial spectator’ yang harus sentiasa menjadi pendamping dan sebagai ‘check and balance’ terhadap segala perkara yang dilakukan manusia.[6]

Apa yang dimaksudkan oleh Adam Smith mungkin disalahtanggap sebagai pentingkan diri sendiri melebihi orang lain, akan tetapi sebenarnya ia adalah lebih kepada berfikir tentang survival diri. Itu adalah fitrah seorang manusia. Dalam masa yang sama, kata Smith, kita mesti merasakan seolah-olah dipandu oleh ‘impartial spectator’, di mana kita meletak diri kita yang ‘impartial’ (neutral) sebagai orang lain yang memerhati dan menilai tindakan kita.

Charles Eisenstein dalam bukunya ‘Sacred Economics’, menimbang tentang tamak yang sememangnya buruk kepada manusia. Wujud dalam dunia ini kewujudan dua yang selalu berlawanan (dual-existence), dan selalunya perjuangan menentang yang jahat itu akan berterusan sehingga memenangkan pihak yang baik. Mengutip sedikit kata-katanya;

“The war against evil imbues every institution of our society. In agriculture it appears as the desire to exterminate wolves, to destroy all weeds with glyphosate, to kill all the pests. In medicine, it is the war against germs, a constant batle against the hostile world. In religion, it is the struggle against sin, or against ego, or against faithlessness or doubt. It is the mentality of purifying and purging, or self-improvement and conquest, of rising above nature and transcending desire, of sacrificing oneself in order to be good. Above all, it is the mentality of control.”[7]

Kesimpulan

Kesimpulan saya, tamak ini adalah sifat yang mesti dikawal dan bukan sebagai justifikasi kepada kelemahan diri dalam menangani kehendak nafsu. Walaupun kelihatan baik pada luarnya, hakikatnya secara naluri pasti terasa bersalah untuk berpendirian dengan cintakan ketamakan. Dalam perkataan Eisenstein, “They are lacking in something fundamental that you and I have, some basic decency, basic goodness.”[8] Dalam kesempatan Ramadhan 1436H ini, muhasabahlah diri dengan meneliti Firman Allah;

“Dan Ia telah memberi kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu dalam menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya, lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.”[9]

*Amru Khalid S

*10Julai2015 – 23Ramadhan1436H

*UIA – Sekinchan – Hutan Melintang – Shah Alam

[1] Robert L. Heilbroner. “The Worldly Philosophers: The Lives, Times and Ideas of the Great Economic Thinkers”. (New York: Touchstone, 1992) 58-59

[2] Ibid, 55

[3] Dokumentari “The Yes Men Fix The World-P2P Edition 2010”. Filem oleh Andy Bichlbaum dan Mike Bonanno

[4] Milton Friedman. “Capitalism and Freedom”. (University of Chicago Press, 1982)

[5]  BBC News. 7 Jun 2010. Arkib daripada asal pada 7 Jun 2010. Diterima pada 7 Jun 2010.

[6] ADAM SMITH, THE GLASGOW EDITION OF THE WORKS AND CORRESPONDENCE OF ADAM SMITH (1981-1987)

[7] Charles Eisenstein. “Sacred Economics”. (Evolver Editions’ Publications, 2011) 20

[8] Ibid, 21

[9] Abdullah Muhammad Basmeih. “Al-Quran Android”. (Surah Ibrahim 14:34)

Rujukan

  1. Robert L. Heilbroner. “The Worldly Philosophers: The Lives, Times and Ideas of the Great Economic Thinkers”. (New York: Touchstone, 1992)
  2. Dokumentari “The Yes Men Fix The World-P2P Edition 2010”. Filem oleh Andy Bichlbaum dan Mike Bonanno
  3. Milton Friedman. “Capitalism and Freedom”. (University of Chicago Press, 1982)
  4. BBC News. 7 Jun 2010. Arkib daripada asal pada 7 Jun 2010. Diterima pada7 Jun 2010.
  5. ADAM SMITH, THE GLASGOW EDITION OF THE WORKS AND CORRESPONDENCE OF ADAM SMITH (1981-1987)
  6. Charles Eisenstein. “Sacred Economics”. (Evolver Editions’ Publications, 2011)
  7. Abdullah Muhammad Basmeih. “Al-Quran Android”. (Surah Ibrahim 14:34)

Leave a comment