Pentingkah Sejarah Pemikiran Ekonomi?

Tentu sekali telah banyak tulisan yang memperkatakan tentang peri pentingnya pengetahuan sejarah pemikiran ekonomi (SPE) dari sudut ‘kefahaman’ yang lebih mendalam apabila ilmu ekonomi moden yang diajarkan masa kini sudah dilatari dengan pengetahuan dan maklumat sejarah yang luas. Perkembangan sesuatu disiplin ilmu itu pastilah tidak lahir secara vakum, iaitu muncul secara tiba-tiba tanpa terkesan dengan faktor suasana semasa yang mempengaruhinya.

Sepertinya, tulisan Adam Smith yang merupakan hasil tindak balas (reaction) terhadap persekitaran dan keadaan pemikiran ekonomi negara semasa ketika itu, beliau telah menghasilkan sebuah karya yang dijunjung ramai sebagai karya utama sains ekonomi iaitu ‘The Wealth of Nations’ bagi menyatakan pendiriannya. Begitu juga David Ricardo yang menulis tentang teori pengagihan (distribution theory) sebagai tindakan balas terhadap undang-undang jagung (Corn Laws) yang telah diperkenalkan di England pada zaman itu, termasuk juga karya ‘General Theory of Employment, Interest and Money’ oleh John Maynard Keynes yang terhasil sebagai tindakan balas terhadap keadaan kemelesetan panjang (the Great Depression) pada 1930-an. Begitulah secara alaminya setiap perkembangan satu-satu disiplin ilmu itu yang pasti muncul hasil tindak balas terhadap keadaan dan pengalaman semasa.

Namun, subjek sejarah pemikiran ekonomi bukan hanya penting sebagai pemerkasaan kefahaman dalam ilmu ekonomi moden masa kini sahaja. Bahkan ianya adalah suatu nilai tambah yang penting dalam memberi kesan terhadap keseluruhan cara fikir dan juga hasil fikir itu sendiri, terutamanya bagi mereka yang mengambil jurusan ekonomi di universiti.

SUBJEK SEJARAH PEMIKIRAN EKONOMI DISISIHKAN DARI SILIBUS UNIVERSITI

Mengapa sukar untuk mendapati subjek ini diajarkan di universiti andai benar ianya begitu penting? Perkara pertama yang harus disedari ialah bahawa subjek sejarah seperti ini telah semakin dianggap mengundur atau regresif, malah tidak digemari ramai. Seolahnya, subjek ini akan memerah dan menghabiskan tenaga dalam menyanjung dan memuji-muja kehebatan para pemikir lampau, sedangkan segala yang dipelajari masa kini telah lebih sempurna, elok dan relevan. Subjek sejarah seperti ini dilihat tidak akan mampu membuahkan sebarang hasil segera (immediate product) yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat, lalu lebih baik kiranya diarahkan tenaga yang [dirasakan] terhad ini kepada melakukan pembelajaran dan usaha fikir yang lebih terkini.

Perkara kedua ialah disebabkan sistem pendidikan hari ini yang berkiblatkan industri dan pekerjaan (vocationally-oriented education) telah mengaburi banyak pihak terhadap kepentingan dan keperluan terhadap pengetahuan subjek seumpama ini. Sistem kehidupan kita, yang kononnya diatur oleh kehendak pasaran akhirnya membawa kepada kehendak yang palsu, iaitu untuk melahirkan para pekerja semata-mata.

Tumpuan institusi pendidikan pun sudah menjadi suatu kilang untuk melahirkan para pekerja untuk berkhidmat dalam industri, yang hanya memerlukan kemahiran semata-mata, tanpa mempunyai ilmu yang lebih tinggi dan utama, seperti ilmu mengenal diri dan menyelesaikan masalah sebenar. Sebab itu para pelajar di universiti-universiti kini berterusan diasah, diasak, dilatih-tubi supaya mampu menyelesaikan tugasan sehingga lali terbiasa dan menjadi terangkum dalam kemahiran (skills) mereka.

Ini telah mencarikkan falsafah ‘universiti’ yang sebenar, sebagai institusi pendidikan yang bertujuan melahirkan manusia yang jelas makna hidup dan kemudian bantu memperjelas makna hidup ahli masyarakat yang lain. Sebuah ‘universiti’ itu seharusnya mengambil kira pembangunan ‘universal’ yakni menyeluruh terhadap setiap peserta (baca: pelajar) di bawah naungannya, yang mengandungi kekuatan pengkhususan dalam fakulti tertentu, bukanlah terpecah-pecah antara satu sama lain. Dan bukannya sekadar mengasah kemahiran untuk disiapkan sebagai pekerja industri semata-mata, yang sepatutnya diuruskan oleh institusi vokasional, bukan universiti!

ILMU RENTAS-DISIPLIN

Pentingnya subjek sejarah pemikiran ekonomi ini adalah kerana sifatnya yang rentas-disiplin, dan bukannya terperap kaku menjadi ‘syok sendiri’, berkhayal dan berteori mengenai ekonomi, akan tetapi tidak mengenalpasti pokok-pangkal permasalahan yang ingin diselesaikan. Bahkan, mungkin ada yang tidak pernah terasa ingin menyelesaikan masalah pun!

Sifat ‘ilmu’ itu adalah tersepadu (integrated). Mengasingkan dan memisah-misahkan disiplin ilmu itu seharusnya terjadi hanya pada nama dan bertujuan melakukan pengkususan dalam sudut-sudut tertentu tanpa meninggalkan sudut yang lain. Akan tetapi, disebabkan cara fikir yang aneh seperti ingin menjadikan satu-satu disiplin ilmu itu sendiri untuk dilihat hebat (prestigious), maka terjadilah suatu kecenderungan untuk me‘maju’kan disiplin ilmu itu supaya dapat berdiri dan terbang sendiri, tidak mahu terikat dengan kaedah dan cara dari disiplin ilmu yang lain.

Boleh dikatakan inilah yang berlaku kepada disiplin ‘ekonomi’ yang ingin mengasing sendiri dari ilmu ‘politik’ dan ‘etika’, yang akhirnya tidak mampu memberi sebarang kesan/impak yang realistik pun terhadap penyelesaian masalah yang seharusnya ia tangani. Akhirnya, ia berdiri longlai dan merasakan dirinya cukup hebat melaung-laung menuntut pengiktirafan dunia sebagai wira, sedangkan boleh jadi dialah yang sebenarnya perosak!

Ilmu ‘ekonomi’, yang dahulunya dibincang sebagai ekonomi politik (political economy), atau dalam tradisi keilmuan Islam dibincangkan dalam ruang-lingkup ‘mu‘amalah’ – iaitu merangkumi ekonomi, politik, etika, sosial, dan undang-undang – telah berkembang-berubah kini menjadi suatu perbincangan yang perkiraannya terlalu sempit, perlu dinilai dan dilihat dengan kacamata yang lebih luas dan sesuai. Perlu tahu di mana untuk meletakkan sesuatu itu pada tempatnya!

SEJARAH SEBAGAI PEMBENTUKAN CARA TAFSIR

Antara perkara utama yang boleh terkesan dari mempelajari dan menelusuri perbahasan dalam SPE ialah dapat menyedari bahawa suasana persekitaran ekonomi dan sistem ekonomi pada zaman sebelum ini adalah berbeza sama sekali dengan apa yang dialami oleh pengalaman kita yang amat sedikit. Tanpa mengetahui sejarah asal usul ekonomi, pandangan kita hanya terbatas dengan apa yang kita pernah lalui dan alami sahaja, sedangkan suasana persekitaran dan sistem ekonomi itu telah berubah dengan banyak sekali. Sudah tentu ramai yang bersetuju dengan kenyataan ini, walaupun tanpa membaca sebarang tulisan sejarah pun.

Akan tetapi, cara tanggap seseorang terhadap dunia itu, sesungguhnya, terpengaruh dengan pengetahuan dirinya terhadap dunia yang dia diami, iaitu semakin banyak sejarah yang diketahuinya, semakin kenal bagaimana dunia ini berfungsi. Maka, dengan mempelajari sejarah tentang bagaimana terbentuknya pemikiran ekonomi sehingga kini, wujud faham bahawa apa yang dilalui kini adalah hasil daripada pemikiran dan kejadian yang berlaku dalam sejarah, dan semestinya sistem ekonomi yang kita lalui hari inilah bukanlah hanya satu-satunya sistem yang terbaik yang kita boleh selesa dengannya. Ia akan berubah, dan ia perlu diubah.

Ya, sesetengah orang mungkin berkata bahawa perubahan tersebut akan berlaku dengan sendirinya atau agen-agen dalam ekonomi-lah yang akan menentukan halatuju perubahan tersebut. Tetapi hakikatnya tidak sepenuhnya begitu, malah pasti ada yang menyelit dan mengambil kesempatan di kala peralihan perubahan itu untuk membentuk pemikiran yang sesuai dengan kepentingan mereka. Walaupun dilihat para sarjana (academicians) itu seolah-olah terpisah dari dunia perniagaan sebenar, namun hakikatnya apa yang mereka sebut dan takrifkan pasti akan mempengaruhi jua kelakuan peniaga dan agen ekonomi dalam dunia sebenar.

KESILAPAN EKONOMIS MUSLIM

Selain daripada pembentukan cara tafsir, SPE juga penting dari segi menyediakan asas bagi melakukan penelitian yang lebih tepat. Sebagai contoh, kita akan tidak mudah terikut-ikut dengan cara penelitian ekonomis Barat dalam memperihal kejadian dan kelakuan ekonomi melalui cara pandang mereka. Disebabkan kita hanya terdedah dengan kaedah mereka sahaja, kita mudah menganggap bahawa kaedah penelitian mereka sahaja yang benar atau lebih unggul (superior).

Ini yang menyebabkan tempangnya sesetengah ekonomis muslim dalam usaha mereka membina teori ekonomi Islam, tetapi cara pandang dan penelitiannya masih menjurus menggunakan kaedah yang sama. Tambahan pula jika mereka telah tidak mampu mengusulkan cara penyelesaian yang lebih baik, kemudian difikir pula bahawa sistem ekonomi kapitalis inilah yang paling mendatangkan manfaat, maka mereka hanya menempel nama-nama ‘Islamik’ tanpa menggunapakai konsep/faham asal sesebuah istilah itu.

Sebagai contoh konsep ‘takaful’ yang telah luas digunapakai, sedangkan ruh asal konsep tersebut ialah tolong menolong dan saling meringani dalam sebuah ikatan kemasyarakatan yang utuh, dan semakin mengutuh. Tetapi, kelihatannya kini para agen takaful mudah mengambil kesempatan menakut-nakutkan orang awam dengan kemalangan supaya mereka melanggan produk tersebut. Yang tidak melanggan tidak akan dibantu sedikit pun dari wang itu, seolahnya dipaksa melanggan, barulah selamat. Tiada wujud pun tanggungjawab kemasyarakatan seperti yang digambarkan dari ruh istilah ‘takaful’ itu. Tambahan lagi, para peserta takaful tidak pernah tahu menahu akan wang caruman mereka itu disalurkan ke mana, bahkan dengan siapa peserta ‘pool’ wang mereka pun tidak diambil kisah. Ke mana perginya ruh tolong-menolong itu? Cara kerja/mekanisme takaful ini adalah serupa sahaja dengan insurans konvensional, cuma lebihnya dia menempel nama ‘Islamik’ supaya lebih ramai pengguna muslim yakin dan datang menambah untung mereka!

Selain itu, disebabkan kekaguman mereka terhadap pencapaian sistem kapitalis ini, mereka cenderung mewajarkan (justify) kapitalisme sebagai sistem yang terbaik, kerana faham ‘kemajuan’ pada mereka telah terpesong. Mereka hanya kagum pada pencapaian teknologi dan sains, lalu menganggap kapitalisme sebagai sistem yang paling memungkinkan kemajuan (progress), pembangunan (development) dan perubahan (change). Lalu untuk menampakkan bahawa Islam adalah penyelesaiannya, dalam masa yang sama dikagumi juga sistem kapitalisme, maka mereka membina teori dengan cara pandang sedemikian yang menampakkan bahawa kapitalisme itu adalah selari dengan Islam.

Sebagai contoh, disebabkan teori yang diperkenalkan oleh Adam Smith iaitu pengkususan pekerjaan (division of labour) itu menjadi sesuatu yang utama dalam perbahasan ekonomi Barat, sehingga dianggap idea yang paling hebat untuk menggalakkan kecekapan (efficiency), maka ekonomis muslim segera mahu mengangkat idea tersebut sebagai yang turut utama dalam Islam. Lalu didatangkanlah segala tulisan oleh ilmuwan lampau, bahkan al-Qur’an dan Hadith sendiri untuk mewajarkan hujah mereka.

Antara yang disamakan mereka ialah al-Ghazali. Disebabkan al-Ghazali turut memperkenalkan idea pengkhususan pekerjaan jauh lebih awal dari Adam Smith, maka terus dilagu-lagukan bahawa al-Ghazali telah lebih awal menyatakan idea itu dari Adam Smith. Sedangkan apa yang dikatakan oleh keduanya adalah berbeza sekali. Adam Smith menatijahkan keefisienan dari idea beliau, tetapi al-Ghazali menatijahkan kepentingan memenuhi Fard al-Kifayah dalam masyarakat. Maka apabila kritikan seperti teori keterasingan (alienation) oleh Karl Marx dikenakan ke atas teori pengkhususan pekerjaan itu, mulalah mereka tercungap-cungap untuk mempertahankannya.

KESIMPULAN

Kesimpulannya, subjek sejarah pemikiran ekonomi adalah penting untuk dikaji dan dipelajari oleh setiap pelajar ekonomi yang ikhlas ingin memahami ekonomi dengan tujuan yang lebih tinggi. Lihat sahaja di rak buku bahagian ekonomi di Kinokuniya (juga di kebanyakan kedai buku lain), lebih banyak buku-buku yang membincangkan tentang hilang percaya dan kacau-bilaunya sistem ekonomi masa kini berserta pelajaran yang diajarkan di dalam kelas, iaitu ekonomi neoklasik semata-mata. Mereka yang mempelajari ekonomi dengan maksud untuk menyelesaikan masalah dan memperbaiki sistem yang rosak masa kini pasti tidak selesa untuk hanya mempersiapkan diri dengan hanya satu cara pandang terhadap ekonomi, malah akan sendirinya memperdalam dan memperluas bacaan-bacaan yang berkenaan.

“Economics is not the study about the economy, but rather the indoctrination on how they want you to understand the economy.”

Amru Khalid

26 Sept 2017 – Dar al-Hikmah Library IIUM

Leave a comment