Meninjau Kembali Perbincangan Ekonomi

Bismillah

Pengenalan

Perbincangan dan pembelajaran ekonomi masa kini telah dicemari dengan pelbagai perkara yang menyebabkan ilmu ekonomi kelihatan statik dan kaku (rigid). Mengakui diri sebagai pelajar tahun pertama jurusan ekonomi di UIA, masih banyak lagi perkara yang saya belum terokai dalam subjek ini. Namun sebagai persiapan untuk menyemarakkan keghairahan diri saya dan pembaca, saya menulis ‘post’ ini supaya kita lebih matang dalam menilai pembelajaran di dalam kelas pada masa hadapan.

Falsafah Asas (Philosophical Foundation)

Sebelum memulakan apa apa perbincangan, hendaklah dikenalpasti dahulu falsafah yang mendasari pemikiran saya, yang membentuk pandangan alam kita terhadap satu satu perkara. Sekurang kurangnya ini yang saya dapat belajar apabila hampir kesemua subjek yang dipelajari di UIA akan membincangkan dahulu falsafah asas, dan menyediakan pandangan alam Islam.

Ini sangat baik, saya kira, sebagai batu asas kepada segala yang membentuk kefahaman dan tujuan akhir pembelajaran itu akan sampai kepada titik yang bagaimana, dan supaya terarah segala perbincangan yang akan diteruskan. Namun apa yang menjadi kegusaran saya ialah apabila ia hanya menjadi sekadar ulangan jargon dan terma bombastik yang sama, yang tidak lagi signifikan kepada pelajar kerana tidak mendapat gambaran yang menyeluruh terhadap subjek tersebut.

Penting kiranya sebelum memulakan pelajaran, diperkenalkan dahulu mengapa perlu perbincangan ekonomi ini dipelajari, untuk apa, bagaimana ia bermula dan lain lain persoalan asas. Malangnya, saya tidak pernah menerima jawapan jawapan ini lagi di dalam kelas walaupun hampir kesemua subjek ada terselit satu bab besar tentang falsafah asas. Mengapa?

Sejarah Ringkas Permulaan Ekonomi

Definisi ‘ekonomi’ masa kini telah dicemari dengan teruk dan dimanipulasi sehingga konotasi ekonomi seolah olah sudah menjadi tetap (established) sebagai satu “sains yang mengkaji dan meneliti tindakan manusia, kerajaan, firma, atau negara dalam membahagikan sumber yang ‘terhad’ (scarce resources) kepada permintaan yang tidak terhad.”

Sedangkan etimologi asal ekonomi pun iaitu ‘oikou’ dan ‘nomos’ sendiri yang bermaksud peraturan rumahtangga, kelihatan bercanggah nilainya dengan definisi di atas. Rumahtangga itu sahaja sudah memberikan konotasi nilai harmonis yang melambangkan satu keadaan tolong-menolong, sayang menyayangi dan saling mempercayai. Manakala definisi di atas itu, menurut hemah saya, telah serta merta melambangkan ketamakan dan sifat individualistik dalam diri pemain ekonomi.

Tapi sedarkah kita bahawa permulaan perbincangan ekonomi adalah bertitik mula daripada muamalah atau interaksi antara dua atau lebih manusia dalam menguruskan kehidupan seharian, sejak zaman Nabi Adam lagi mungkin? Cuma pada ketika itu ia masih belum disusun dengan sistematik, seperti yang tercatat hari ini.

Yang lebih menghairankan lagi adalah apabila perbincangan ini mula disusun oleh ahli falsafah barat pun adalah berkaitan dengan ‘etika’ dalam bermuamalah. Bermula dengan Plato (menggunakan pandangan Greek-centric), ilmu ekonomi mula dibincang berkaitan dengan pemilikan harta dan susunan masyarakat yang tujuan akhirnya adalah meraih keadilan. Kemudian diteruskan lagi dengan Aristotle, dan ahli falsafah barat yang lain seperti Malthus, Ricardo, Adam Smith dan Marx sekalipun, kerangka perbincangan tidak lari daripada mengkehendakkan keadilan sebagai matlamat akhir.

Maka tidak perlu kiranya menyebut tokoh Islam yang kita kenal kebanyakannya seperti AlGhazali, Syaibani dan lain lainnya, pasti mengkehendakkan keadilan sebagai matlamat utama dalam menuntut ilmu. Maka tidak malukah kita hari ini masih mengikut jejak barat yang telah korup cara fikirnya terhadap ilmu yang mereka perkenalkan?

Barat Pun Mula Sedar

“Mercantilism meant to shift in focus from ETHICS AND JUSTICE to PRODUCTION, GROWTH AND WEALTH.” – Bo-Hans-Richard

Bahkan bukan setakat itu, akhir akhir ini kelihatan semakin banyak karya karya barat sendiri yang telah mula persoalkan matlamat akhir perbincangan kebanyakan ilmu mereka. Antara yang hebat dipersoalkan adalah dalam perbahasan ekonomi, yang kebanyakan tajuk karya mereka mempersoal semula definisi ‘wealth’, ‘growth’, ‘progress’, dan sebagainya.

Tidak kurang juga yang mempersoalkan tentang konsep ‘ceteris paribus’ yang mengkehendakkan perkiraan (considerations) lain diabaikan dalam model mereka. Untuk mempersoal konsep ini semula pun perlu melawan konsep itu sendiri, dengan keluar daripada hanya mengambil perkiraan perbincangan ekonomi semata mata, dan mengambil kira perbincangan psikologi manusia juga. Dengan itu baharu terbukti bahawa manusia, menurut teori psikologi, adalah sangat kompleks dan tidak boleh dengan mudah mudah mengandaikan (assume) kelakuan mereka dengan pelbagai andaian yang simplistik, seperti model yang mereka cadangkan dalam pembelajaran buku teks sekarang ini.

Selain itu, karya karya seperti ‘Green Economics’, ‘Small is Beautiful’, dan ‘Humanomics’ juga mula ditulis untuk mencabar perbincangan ekonomi semasa oleh barat dengan memperkenalkan model ekonomi alternatif dan pelaksanaan yang lebih menepati tujuan asal ekonomi, ketikamana kita baru merangkak hendak belajar tentang ilmu mereka. Ini menjadi bukti bahawa cara pembelajaran sebegini semakin hari semakin tidak relevan lagi sebagai satu perbincangan ekonomi yang baik.

Sains Kemanusiaan

Tidak tamat di situ, ilmu ekonomi adalah tergolong dalam kategori sains sosial, iaitu pengkajian tentang ilmu kemanusiaan dan tingkahlaku manusia. Tidak dapat tidak, elemen kemanusiaan mestilah diambil kira, paling tidak harus disertakan dengan ilmu sosiologi, psikologi, sejarah dan sains politik. Maka, tidak lengkap kiranya hanya belajar ilmu ekonomi tanpa mengetahui ilmu kemanusiaan yang lain kerana semua cabang ilmu ini hakikatnya berintegrasi.

Mengambil pedoman daripada barat lagi, mereka sendiri pun telah banyak sedar dan mengkritik budaya mereka sendiri melalui pelbagai wasilah. Antaranya dalam filem terbaru Jurassic World (2015), terselit mesej yang baik tentang konsep kawal (control) dan hubungan sesama (mutual relationship). Walaupun dalam filem tersebut meletakkan haiwan (dinosaur) sebagai alat yang dikawal, hakikatnya begitulah ahli ekonomi sesetengahnya menganggap manusia industri yang bekerja hari dan malam sebagai di bawah kawalan mereka, hanya menurut teori yang dicoret di atas kertas dalam bentuk nombor nombor dan graf sahaja, hakikatnya ia tidak akan jadi begitu. Tiada elemen kemanusiaan disertakan, hanya menganggap pekerja ini sebagai robot yang seronok dimanipulasi!

Ilmu ekonomi tidak akan menjadi satu disiplin ilmu yang lengkap tanpa mengambil kira disiplin ilmu kemanusiaan yang lain. Pada saya, dalam disiplin ilmu ekonomi, wajib mempelajari disiplin ilmu kemanusiaan yang lain. Disiplin dalam disiplin. Mengambil contoh model Ecological Economics yang sedang giat dibangunkan, model ini adalah ‘trans-disciplinary’ yang mengambil kira ilmu sains, fizik, kimia, biology, juga psikologi, geografi, dan ada juga disertakan metafizik dalam perkiraan modelnya.

Penutup

Sebagai kesimpulan, bagaimana kita mendefinisi ekonomi dan falsafah yang mendasari pandangan alam kita itulah yang mengarahkan langkah kita ke mana tujuan pembelajaran ekonomi yang selama ini kita faham dan mahukan. Model ekonomi yang diamalkan di Malaysia yang ke mengarah kepada Neo-Classical Synthesis Keynesianism ini pun sudah terlalu banyak dikritik, tinggal saja para pelajar ekonomi sekarang inilah yang bakal mencadangkan alternatif model yang bagaimana sebagai menentukan hala tuju kehidupan rakyat Malaysia, demi keadilan atau kekayaan negara semata-mata?

Kembalikan perbincangan etika dalam ekonomi!

(Bring back the ethico-moral context! – Dr Adi Setia)

Amru Khalid S. – 4:15am, home sweet home.

Leave a comment