Pemikiran Ekonomi Melayu : Persoalan Moraliti

Oleh: Zainal Abidin Borhan

 

1.0       Kertas kerja ini mengandungi dua bahagian; a) cuba melontarkan pelbagai persoalan yang perlu kita analisiskan untuk kita memahami ekonomi Melayu, b) persoalan pemikiran ekonomi Melayu.

Adalah diharapkan dalam seminar ini dapat kita bersama mengguna seluruh pengalaman dari pelbagai disiplin untuk mencari jawapan apakah ekonomi Melayu itu. Jika ia wujud (sudah pasti ada) adakah kita mampu melahirkan satu kenyataan teoritis (mungkin sudah ada) tentang ekonomi Melayu, atau, paling tidak menyenaraikan seluruh asas, prinsip, isu dan cabaran yang terkandung di dalamnya. Atau paling tidak kita dapat, dalam tempoh masa yang dekat untuk membuat satu review atau rekonstruksi berdasarkan pelbagai data, kajian, penerbitan yang telah dilakukan, untuk membantu perbincangan apakah tidak mungkin kita lihat kenyataan-kenyataan berikut :-

1.1       Apakah tidak mungkin terlebih dahulu kita cuba memahami dasar yang menjadi matlamat kehidupan orang Melayu. Apakah ekonomi yang menjadi matlamat itu? Apakah ekonomi merupakan wadah yang mengisi kekuatan dalaman kehidupan orang Melayu, sedangkan keseluruhan wadah Melayu itu memperoleh kekuatan dwitunjang yang wujud integratif, saling melengkapi iaitu Adat dan agamanya. Melayu dan agama Islam ialah struktur dalaman Melayu dan ekonomi ialah di antara struktur luarannya.

1.2       Secara spatio-temporal (ruang-waktu) atau diakronik-sinkronik kita perlu mengesani keseluruhan social-formation Melayu, untuk memahami ragam sosial, ragam budaya, ragam-politik dan ragam-ekonomi Melayu dari masa lalu hingga masa kini.

Kita perlu memahami jaringan-jaringan (linkages) sosio-ekonomi, politiko-ekonomi secara horizontal dan vertikal di dalam social formation [satu-satu] klen (clan), tribe (kampong) dengan kingdom (negara, nigari, negeri – kerajaan dan jajahan takluknya) sehingga ke zaman kolonial dan merdeka (state– yang jelas penentuan sempadan dan wilayahnya). Dalam hal ini, seluruh persoalan yang berhubungkait seperti egalitarianism yang terdapat di dalam masharakat Melayu di peringkat horizontal dan penguasaan sumber-sumber ekonomi (pra-kapitalis? Atau kapitalis?) di peringkat vertikal.

Juga perlu dilihat apakah ekonomi Melayu mengandungi persoalan moraliti yang berasaskan ciri atau asas komunal yang kolektif yang memberi penekanan kepada kestabilan, equilibrium, homeostasis, kesejahteraan; atau individualistik, eksploitatif yang memberi penekanan kepada penguasaan sumber-sumber pengeluaran.

1.3       Alam sekeliling dan persekitaran Melayu meliputi kawasan daratan, sungai, pesisir, lautan dan kepulauan, memungkinkan pelbagai aktiviti yang berasaskan tanah dan pesisir (maritim). Kesan interaksi dengan alam sekeliling melahirkan juga pelbagai cultural knowledge (ethnoscience?), paling tidak usaha pengkategorian (taxonomy) terhadap segala sumber yang ada.

Alam yang terbuka ini cuma dibendung oleh selat dan laut serta pulau-pulau, memudahkan kemasukan pelbagai pengaruh dan kuasa. Dari sumber-sumber yang ada aktiviti perekonomian berlaku dan bertingkah pula dengan pelbagai kemampuan manusia untuk memenuhi kepuasan dan keperluan dari segi budaya, sosial, politik, dan kepercayaan (agama).

Sebagai contoh, aspek kepercayaan amat penting dalam segala [kegiatan] aktiviti masharakat Melayu pada suatu masa dahulu, mengadakan pelbagai ritual untuk setiap aktiviti baik ekonomi, sosial, budaya dan politik. Ritual atau distiadatkan, atau sebagai satu convention wajib. Di dalam aktiviti ekonomi ada adat untuk memulakan sesuatu kerja, ada adat kesyukuran, ada rites of intensification, rites of initiation dan sebagainya. Maka di dalam aktiviti ekonomi manusia sebagai pelaku utama tidak terlepas untuk berinteraksi dengan kuasa ghaib yang dipercayainya, berinteraksi sesama manusia dan dengan alam sekeliling mereka.

Itu yang berlaku pada suatu masa dahulu, dan kini mungkin sudah tiada, tetapi diganti pula dengan upacara perasmian, tepung tawar, bacaan doa dan upacara menyatakan kesyukuran, bersedekah, mengeluar zakat, atau mengeluarkan sebahagian dari rezeki, untuk tujuan tanggungjawab serta obligasi sosial.

Adaptasi dengan alam sekitar, khususnya di kawasan perisir menurut C Geertz membolehkan lahir pesisir culture (1963: 30-31), dan masharakat atau budaya pesisir…”

characteristically stress Islamic beliefs and orientation of marketing activities …” (1963:58)

1.4       Aktiviti ekonomi tidak terlepas dengan persoalan kemanusiaan, yang berpaksian moraliti, yang dapat dilihat adanya sifat, sikap murah hati, saling bergantungan, saling bekerjasama, saling bantu-membantu kerana darah ada hubungan kahwinan, seketurunan, sebangsa, senegeri dan seagama. Penegasan kepada moraliti yang berasaskan prinsip kolektif dan kurangnya prinsip individualistik.

1.5       Pengkajian dan pengajian tentang ekonomi Melayu telah banyak dilakukan oleh orang luar dan orang dalam, menggunakan pelbagai pendekatan, pelbagai disiplin. Ramai pengkaji lebih suka menggunaan Melayu sebagai data untuk dikaji dengan mengguna atau meminjam pendekatan orang lain – sesuai dengan latihan dan pendedahan yang diterima. Usaha-usaha tersebut harus dipuji. Jika kita merasakan bahawa segala pendekatan dan teori yang digunakan itu suatu yang universal, seperti menggunakan pendekatan functional, institutional, structural, dan digabungkan pula dengan pelbagai disiplin sejarah, ekonomi, politik, antropologi dan sosiologi, sila teruskan kerana semua itu adalah tools of analysis. Persoalan yang perlu kita fikir dan renungkan ialah sampai bila dan selama bila kita mengharapkan orang lain yang menentukan segala-galanya untuk kita, sehingga kita mengenal diri sendiri melalui tingkap dan pintu orang lain. Sudah sampai masanya kita mencari makna-makna kehidupan berasaskan diri kita sendiri, dan makna-makna yang dibuat oleh orang lain menjadikan panduan.

 

2.0       Persoalan pemikiran, cognition, orientation, worldview, falsafah (jika ada) ekonomi Melayu bertali-temali di sebalik pelbagai makna pengucapan, perlakuan, tindakan, ritual, hukum (adat) kuasa, agama dan sebagainya.  Bukan tugas kertas kerja ini untuk menghuraikan apa itu pemikiran kerana ia memerlukan ruang waktu yang lain.

Untuk memudahkan perbincangan pada hari ini, untuk mencari asas-asas pemikiran ekonomi Melayu, maka beberapa kenyataan tersebut di atas khusus kenyataan 1.4 dapat memandu kita untuk sekurang-kurang menyumbang matlamat pencarian kita bersama pada hari ini.

Dengan mengguna peribahasa, ungkapan, pepatah-petitih, kita cuba meninjau apakah yang terkandung dalam pemikiran ekonomi Melayu. Peribahasa dan ungkapan adalah korpus yang dapat membantu kita mengesani lubuk akal lautan budi Melayu.

Secara semula jadi, manusia memerlukan pelbagai keperluan asasi, manusia memiliki kesungguhan dan usaha untuk hidup, manusia bekerja dan berkarya untuk memenuhi tuntutan hidup. Manusia di alam ini bukan sekadar meneruskan kelangsungan kehidupan tetapi tempat untuk manusia hidup bersama menikmati sumber kejadian dan anugerah Tuhan (Allah). Lantaran itu manusia sebagai khalifah di Bumi, sebagai hamba Allah, sebagai insan dan makhluk,melihat alam dan segala sumbernya bukan untuk dieksploitasi sehabis-habisnya dengan penuh rakus, tetapi sebaliknya untuk wujud harmonis dengan alam itu sendiri. Manusia dijadikan khilafah untuk memakmurkan bumi ini, dan menggunakan segala sumber yang terhad itu untuk kepentingan sesama manusia. Lantaran itu di dalam masharakat Melayu pada suatu masa dahulu, setiap usaha untuk mendapatkan hasil dilaksanakan dengan pelbagai ritual seperti adat membuka tanah, adat berpuar, adat membersih kampong dan sebagainya, sebagai tindakan pengharmonian kewujudan antara manusia dengan alam kuasa ghaib.

Setiap usaha ekonomi perlu dimulakan dengan pengetahuan tentang alam ini, tentang jenis tanah, tentang semangat, jin, jembalang, sebagai komunikasi harmonis membolehkan segala aktivit iberjalan dengan baik untuk mendapat hasil yang baik. Setiap hasil yang diperolehi perlu ada ritual kesyukuran menyatakan terima kasih kepada kuasa yang memberi hasil. Seluruh adat ni dapat dilihat [dalam] kalangan masharakat tribal yang wujud masa kini di Alam Melayu.

Segala sumber adalah pemberian dari suatu kuasa yang agung (Tuhan/Allah), ia adalah rezeki. Konsep rezeki tidak terhad kepada sumber, hasil, produktiviti, tetapi ia adalah segala kenikmatan , kemewahan, kesihatan, kesejahteraan dan hal-hal yang sehubung dengannya.

Rezeki yang dianugerah inilah yang perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, bukan untuk dibolot seorang, dilaksanakan secara kolektif, dan di dalam pemikiran orang Melayu keberkatan rezeki yang peril dicari.

Berkat (barakat) bermaksud mendapat segala kenikmatan, kemewahan, kesenangan, kehidupan rahmat. Ia adalah ganjaran yang Tuhan berikan, yang perlu dikeluarkan sebahagiannya, disedekahkan kepada yang memerlukan bantuan. Lantaran segala hasil, rezeki, sumber tidak bererti untuk nikmat seorang sahaja, ia adalah untuk dinikmati bersama.

Orang Melayu menghargai pentingnya usaha individu-individu untuk memboleh mengumpul kekayaan tetapi setelah memperoleh kekayaan, ada tanggung-jawab sosial dan moral iaitu mengeluarkan sebahagian dari rezeki untuk yang memerlukan, kepada orang yang susah, miskin, fakir, yatim piatu.

Hidup yang digunakan untuk memiliki kemewahan ekonomi, kekayaan bukan bermakna menjadikan manusia Melayu ‘seperti enau dalam belukar’, tetapi manusia yang ada kesedaran sosial dan moral yang tinggi, ‘seperti aur dengan tebing’. Tidak dibagikan dalam hidup ini ada yang rajin dan ada yang kurang berusaha, ada ‘enggang’, ada ‘pipit’, ada ‘kaya’ dan ada ‘miskin’. Maka kedudukan ‘si enggang’ bukan seperti ‘jagung tegak menyombong’ tetapi seperti ‘padi makin berisi semakin tunduk’.

Setiap individu perlu bekerja keras, sama ada bertani, berdagang, atau menjadi tukang. Hidup bukan sekadar ‘kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang’, tetapi ‘sehari selembar benang, lama-lama jadi kain’, ‘sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit’, ‘menggenggam bara api biar jadi arang’, bukan bukannya ‘hangat-hangat tahi ayam’. Segala usaha perlu dilakukan bersungguh-sungguh, sanggup ‘meringan tulang’, bukan ‘berat perut’, dilaksanakan ‘seribu daya’, kerana ‘bulat tak datang menggolek, pipih tak datang melayang’, rezeki tidak datang sendiri ibarat ‘menanti nasi tersaji di lutut’.

Setiap usaha dilaksanakan dengan berpakat-pakat (muafakat), kerana ‘muafakat membawa berkat’. Di dalam pakatan, tindakan seserang berdasarkan kemampuan masing-masing, berdasarkan peranan serta fungsi social dan ekonomi masing-masing, seperti kata perbilangan,

“Yang pekak membakar Meriam

Yang buta menghembus lesong

Yang lumpuh menghalau ayam

Yang pekong penjemuran

Yang kurap pemikul galah

Yang alim minta doanya

Yang kaya minta emasnya

Yang bijak teman berunding.”

Nilai kolektif cukup tinggi, setiap orang saling melengkapi yang lain, saling sandar menyandar, saling bantu membantu, interdependent,

“Hati gajah sama dilapah

Hati kuman sama dicecah

Berat sama dipikul

Ringan sama dijinjing

Yang hilang sama dicari

Yang sakit sama dibela

Yang ada sama dimakan.”

Masharakat dan budaya Melayu juga ada institusi ‘merantau’, walaupun institusi ini terkenal di kalangan orang Melayu suku Minangkabau, tetapi merantau terdapat juga di kalangan suku Melayu lain. Orang Melayu lain menyebut istilah merantau ini dengan berdagang, berlayar, (berlayar juga bermaksud naik Haji). Orang Iban menyebut berjalai. Konsep wilayah dalam pemikiran Minang mengandungi tiga iaitu ‘Nagari’ (tanah mengandong), ‘rantau’, dan ‘pasisir’. Di rantau dan pesisir tempat anak muda (lelaki) mencari rezeki, mengadu nasib, mencari untung. Orang Melayu sedar bahawa berdagang ke tempat orang, “ibarat untung sabut timbul, jika untung batu, tenggelam …”. Mereka merantau, berdagang mencari rezeki, mencari ‘emas’, ‘hujan emas di negeri orang’, ‘hujan batu di negeri sendiri’. Emas adalah lambang rezeki yang mewah, ‘batu’ lambing kesusahan.

Saya ingin memetik satu kes, yang diambil dari Tsuyoshi Kato (1980 – Journal Asian Studies, vol. 39, no 4) mengenai seorang yang bernama Muhammad Salleh, berasal dari Rantau Pariaman, Sumatera Barat, dan berjaya dalam perantauannya. Artikel Kato yang berasaskan daripada satu diari yang tersimpan di Arsip Nasional, Jakarta. Beliau (Salleh) mempelajari ilmu berniaga dari bapanya, yang meninggalkan kampong kerana mahu berdikari. Di dalam diari yang ditulis 1914 itu, dicatatkan bagaiman seorang Melayu Palembang mengajar bapa Muhammad Salleh mengenai ‘buku dagang’ (ledger) kerana ‘buku dagang’ itu ialah ‘jiwa dagang’ (the soul of business).

Bapa Muhammad Salleh (Peto Rajo) pernah gagal kerana ‘berdunia’ iaitu hidup mewah, minum arak, menghisap candu, berjudi kerana ini permainan raja-raja dan orang kaya. Maka itu Salleh diajar bahawa niat berniaga atau berdagang ialah ‘berhemat’, jimat dan harus ‘tahan nafsu’.

Orang berdagang, atau yang merantau tahu akan untung nasib perantau, ‘hidup laksana air pasang, ada naik turun’, seperti kata pantun Melayu,

Tanjong Katong jauh ke laut

Tampak dari belakang mati

Laksana apong di tengah laut

Di pukul ombak jatoh ke tepi.

Namun begitu orang Melayu sering menasihatkan ‘jika takut dilambung ombakjagan berumah di tepi pantai’, walau bagaimanapun usaha perlu ada kerana ‘ulat dalam batu boleh hidup’.

Sebelum merantau, si perantau akan dinasihat, jangan lalai beragama, ingat Tuhan, dan lain-lain. Ingat nasihat ibu bapa, jangan busukkan nama keluarga, dan pantun Melayu sering mengingatkan

Masuk pajak keluar pajak

Pakai baju koyak rabak

Kalau tak dengar cakap mak bapak

Kaki lima badan tercampak.

Adalah diingatkan oleh orang Melayu, setelah mendapat rezeki yang banyak janganlah tamak, ‘tangkai jering’.

Apabila rezeki terkumpul, perlu berjimat dan berhemat, perlu pandai berbelanja, pandai mengatur rezeki yang ada, jangan boros, ‘besar karak dari periuk’, ‘besar pasak dari tiang’, lantaran itu ‘ingat sebelum kena’, ‘jimat sebelum habis’. Perlu pandai mengatur kehidupan, ‘rosak manusia kerana salah atur’, ‘sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna’. Jika gagal, jangan menuduh atau menyalahkan orang lain, ‘sebab tak pandai menari, jangan kata papan tinggi rendah’, kerana setiap bukan bermakna punah segala harapan.

Dalam hidup ini, khususnya dalam ekonomi, harus pandai menyusun, mengatur, mentadbir, mengurus, jika salah atur akan jadi rosak. Jika tiada pandai mengatur, ‘ibarat berniaga buluh lesap, pangkal hilang, hujung lesap’. Dalam hidup atau berniaga, perlu ada wawasan, ‘angan-angan mat jenin’ perlu direalisasikan, bukan sekadar angan-angan, ‘perlu berjagung dahulu sebelum padi masak’. Perlu bermula dengan keuntungan yang kecil sementara mendapat untung yang besar, atau ‘pergi bawa lempeng, balik bawa lepat’, berniaga dengan modal yang kecil dahulu, dengan ketekunan In Sha Allahakan mendapat pulangan yang besar, bukannya ‘pergi bawa lepat, pulang bawa lempeng’.

Pantun Melayu sering mengingatkan jangan tamak,

Anak pegar terloncat-loncat

Yang indong ketitiran

Yang dikejar tak pun dapat

Yang dikendong berciciran

 

Dalam semak pokok kelubi

Ayam kuning buat sarang

Orang tamak selalu rugi

Semacam anjing merebut bayang.

 

Hari-hari panas berdengong

Ikan sepat salai di batu

Hendak mencari emas bergunung

Alehkan dapat bangkai berhantu

 

(Zaa’ba, Kalong Bunga, DBP 1964)

 

Harta, kekayaan dan kemewahan adalah rezeki yang diberi Tuhan, yang bukan digunakan untuk dimiliki untuk menjadi takbur, riak, besar diri, hidung tinggi, dan sombong, tetapi digunakan untuk mendapat kerredaan Tuhan, kerana Allah, Lillah. Harta dan kekayaan bukan ‘daki dunia’, bukan kekotoran dan bukan najis tetapi satu nikmat dari kebijaksanaan manusia memakmurkan bumi Allah. Harta bukan untuk melalaikan manusia, sebaliknya satu pernyataan anugerah dan tanggung-jawab serta kesyukuran.

Seorang Melayu perlu meningkatkan ekonominya, perlu berusaha mendapatkan harta dan kekayaan, sebagai satu ibadah, sebagai satu jihad satu tanggung-jawab ibadah, mengimbangi kehidupan dunia dan akhirat. Kedudukan ekonomi ang teguh berkait rapat dengan maruah dan harga diri seperti kata pepatah

Emas pendinding malu

Kain pendinding miang.

 

Begitu juga sesuatu bangsa perlukanekonomi yang kukuh, seperti kata pepatah,

Hilang rupa dek penyakit

Hilang bangsa dek tak beremas.

 

3.0       kita juga menyedari bahawa orientasi ekonomi yang kolektif dan moralistik itu berubah. Namun begitu adalah diharapkan ia kekal di jiwa setiap yang bernama Melayu. Dengan peranan state khususnya setelah merdeka wajah-wajah ekonomi Melayu terus berubah. Penyelidikan dapat membantu kita mengetahui apakah wadah yang moralistik itu terus berkekalan.

 

 

Akademi Pengajian Melayu

24.5.1995

*Disalin semula daripada himpunan kertas kerja ‘Seminar Wacana Pemikiran Ekonomi Melayu’, anjuran APIUM 1995.

 

Leave a comment